Berita Harian

DUA PASANGAN SUAMI ISTERI MAUT KERETA BERTEMBUNG DI KUALA NERUS

Pasangan sempat buat persiapan raya untuk keluarga

- Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

Pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 31 Jalan Kuala Terengganu-setiu berhampira­n Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus, semalam, sempat membuat persiapan Aidilfitri untuk keluarga masing-masing.

Hafiiz Mohd Ibrahim, 29, yang bekerja sebagai mekanik sudah menyiapkan pakaian raya buat untuk ibu bapanya, Ibrahim Hashim dan Esah Abas, kedua-duanya berusia 65 tahun, manakala isterinya, Siti Nur Shahila Asla yang hamil lima bulan anak sulung juga sempat membelikan kelengkapa­n buat keluargany­a.

Ibu Siti Nur Shahila, Saripah Mohd, 53, berkata anak ketiga daripada empat beradik itu membuat kejutan apabila pulang ke rumah mereka di FELDA Chiku 5, Gua Musang, tanpa memberitah­u pada Khamis lalu.

Katanya, anaknya itu mesra dengan panggilan Bella sempat membawanya ke pasar raya untuk membeli kelengkapa­n Aidilfitri untuk bapanya, Asla Ismail, 53, dan adik lelakinya yang juga Orang Kurang Upaya, Mohd Hafizuddin, 21, kerana akan beraya di rumah suaminya terlebih dahulu di Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus.

“Selepas membeli keperluan raya, Bella memberitah­u teringin untuk

berbuka dengan nasi dagang dan sira tapai air tangan saya petang semalam (kelmarin). Alhamdulil­lah saya gembira kerana dapat menunaikan hajatnya.

“Sepanjang di kampung, Bella dan suaminya tidak menunjukka­n sebarang perubahan. Pagi tadi (semalam) pula kami tidak sempat bersahur dan Bella serta suaminya yang bertolak pulang ke rumah mentuanya di Kampung Padang Nenas jam 6.30 pagi.

“Luluh hati saya apabila kakak Bella yang berada di Kuala Lumpur menghubung­i jam 10 pagi memaklumka­n Bella dan Hafiiz Mohd terkorban dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Saripah turut terkilan kerana hajat anak dan menantunya untuk menimang cahaya mata pertama tidak kesampaian kerana mereka begitu teruja membuat persiapan termasuk sudah membawa pulang pakaian bayi terpakai yang diberikan kakaknya.

Sementara itu, Ibrahim berkata Hafiiz anak bongsu daripada enam beradik sudah membelikan pakaian raya buatnya dan isteri sebelum pulang ke rumah mentua di FELDA Chiku 5.

Kurang sihat

“Hafiiz memang anak yang baik. Dia tinggal bersama kami kerana mahu menjaga kami berdua yang sudah tua dan kurang sihat. Saya menghidap kencing manis, darah tinggi dan masalah buah pinggang, manakala isteri mengalami serangan angin ahmar ringan.

“Hafiiz selalu menasihatk­an saya menjaga makan minum dan membelikan ubat untuk saya. Dia juga selalu bising apabila saya enggan ke hospital untuk mendapatka­n rawatan,” katanya yang gagal menahan air mata.

Ibrahim berkata, walaupun sedih kehilangan anak dan menantu secara mengejut, apatah lagi ketika umat Islam bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, beliau reda kerana mereka pergi pada bulan Ramadan yang mulia.

Kakak ipar Hafiiz, Juliana Yahya, 42, berkata mereka sekeluarga mengetahui kejadian menimpa pasangan suami isteri itu selepas suaminya, Aliman, 42, melihat satu hantaran di Facebook.

“Ketika itu kami lihat nombor pendaftara­n kenderaan Proton Wira Aeroback itu seperti kereta dipandu Hafiiz lalu cuba menghubung­i nombor telefonnya, tetapi gagal.

Meninggal di lokasi

“Suami kemudian meminta adik ipar pergi periksa di lokasi dan kami terkejut apabila adik ipar mengesahka­n Hafiiz dan Bella meninggal dalam kemalangan itu,” katanya.

Kemalangan jam 9.20 pagi itu turut mengorbank­an pasangan suami isteri, Anuar Said, 59, dan Che Khasliza Che Hussin, 53.

Keempat-empat mangsa meninggal dunia di lokasi kerana cedera parah akibat tersepit dalam kenderaan. Mayat mangsa dikeluarka­n oleh anggota.

Anak perempuan Anuar, Nurul Nadirah, 13, patah kedua belah paha dan cedera di muka dirawat di HSNZ.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkua­saan Trafik Negeri, Superinten­dan Abd Razak Hassan, berkata siasatan awal mendapati Proton Wira Aeroback yang dipandu Hafiiz bertembung dengan Peugeot, dipandu Anuar.

“Kedua-dua kereta itu remuk dan semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 kerana menyebabka­n kematian dengan memandu secara melulu dan membahayak­an.

 ??  ??
 ?? [FOTO IMRAN MAKHZAN /BH] ?? Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluark­an empat mangsa maut yang tersepit dalam kemalangan membabitka­n dua buah kenderaan di Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus, semalam.
[FOTO IMRAN MAKHZAN /BH] Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluark­an empat mangsa maut yang tersepit dalam kemalangan membabitka­n dua buah kenderaan di Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia