Berita Harian

‘Tidak wajar pertikai lantikan Latheefa’

Pemilihan Ketua Pesuruhjay­a SPRM ikut prosedur: Muhyiddin

- Oleh Badrul Kamal Zakaria dan Suhaila Shahrul Annuar

Semua pihak tidak wajar mempersoal­kan pelantikan Ketua Pesuruhjay­a Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, kerana ia dibuat mengikut prosedur yang betul.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mempersoal atau mempertika­ikan pelantikan itu.

“Dari segi Perlembaga­an dan kuasa eksekutif ia dibuat mengikut prosedur yang betul. Cuma yang berbangkit sekarang ialah soal politik. Mereka mempersoal­kan isu politik mengikut tafsiran masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Orang Ramai

Felda Sri Ledang di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Ahli Parlimen Pagoh, berkata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, juga sudah menjelaska­n mengenai keputusan pelantikan itu yang dikatakan tidak selari dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Saya fikir kita tak nak lagi persoalkan (isu pelantikan). Perkara ini terletak di bawah urus setia PH... Mungkin kerana kita baru lagi (menjadi kerajaan), kita kadangkada­ng belum lagi meneliti perkara itu. Maka pada masa hadapan supaya selari dengan apa yang kita kemukakan dalam manifesto, maka baik jugalah perbincang­an diadakan pada peringkat tertinggi,” katanya.

Muhyiddin berkata, isu ini juga bukan soal mempertika­ikan hak istimewa kerana prerogatif dalam isu ini adalah Yang di-pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Apa pun dari segi politik, ada baik sebagaiman­a yang disarankan oleh pemimpin PH supaya ada sedikit perbincang­an supaya kita dapat memperinga­tkan mengenai perkara yang sudah kita janjikan untuk membuat keputusan, itu keputusan kita.

“Saya yakin Perdana Menteri akan bincang dengan pimpinan tertinggi PH supaya mereka faham dan tahu sebagai langkah akhir, itu keputusan Perdana Menteri.

Ikut Perlembaga­an

“Itu juga adalah proses dalam Perlembaga­an dan saya tak fikir sesiapa boleh pertikaika­n soal itu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata beliau yakin Dr Mahathir mengambil perhatian terhadap kritikan berhubung pelantikan dan kewibawaan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjay­a SPRM.

“Saya juga penuh yakin Perdana Menteri akan mendengar kritikan terhadap keputusann­ya dan akan menilai prestasi Latheefa dari masa ke semasa.

“Keadaan ini akan menjadi kelegaan kepada Kerajaan PH yang cuba memperbaha­rui segala bentuk tindakan dan persembaha­n pemerintah­annya kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin, pula berkata majoriti aduan diterimany­a tidak mempertika­ikan kelayakan atau kewibawaan Latheefa, tetapi lebih kepada proses pelantikan itu.

“Aduan yang saya terima kebanyakan­nya berkisar lebih kepada isu proses pelantikan itu antaranya dakwaan ketiadaan ketelusan dan konsultasi yang sepatutnya; dakwaan perlanggar­an janji bertulis dalam buku Manifesto Pakatan Harapan (PH); ketiadaan perbincang­an dalam Kabinet dan Majlis Presiden PH dan kebimbanga­n kekurangan kesaksamaa­n di pihak Latheefa selepas mengambil kira latar belakang beliau dan pelbagai isu lain.

“Saya percaya majoriti rakyat boleh bersetuju dengan alasan yang diberikan oleh Perdana Menteri mengenai mengapa beliau memilih Latheefa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohamed Hanipa berkata, beberapa pihak seperti Majlis Peguam dan BERSIH 2.0 mengeluark­an kenyataan rasmi yang juga boleh dikatakan bersifat kritikal terhadap pelantikan itu.

Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan yang amat peka pada prinsip demokrasi serta kedaulatan undang-undang di bawah pimpinan Dr Mahathir, beliau percaya suara dan pendapat itu tidak dibiarkan begitu saja.

“Oleh itu, untuk berlaku adil kepada Tun Mahathir, pelbagai pihak sewajarnya perlu sedar bahawa jawatan Perdana Menteri juga ada bersamanya keistimewa­an tertentu yang mungkin tidak ada pada jawatan lain,” katanya.

 ?? [FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN /BH] ?? Muhyiddin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman beramah mesra dengan tetamu Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh, di Dewan Orang Ramai Felda Sri Ledang, Pagoh, semalam.
[FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN /BH] Muhyiddin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman beramah mesra dengan tetamu Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh, di Dewan Orang Ramai Felda Sri Ledang, Pagoh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia