Berita Harian

Beri PM ruang perjelas isu: Anwar

-

Permatang Pauh: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perlu diberi ruang dan masa untuk memperjela­skan kepada Kabinet dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjay­a (KP) Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia berikutan pelantikan Latheefa dibuat tanpa melalui proses pengesahan Jawatankua­sa Parlimen seperti dijanjikan dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Walaupun menyokong keputusan Dr Mahathir melantik Latheefa untuk mengisi jawatan berkenaan, Anwar berkata, penjelasan itu perlu dibuat bagi menjawab tanggapan kerajaan mengingkar­i atau mengabaika­n komitmen dalam manifesto.

“Saya rasa penjelasan perlu diberikan kepada orang ramai berhubung isu ini, walaupun saya percaya Latheefa mempunyai kelayakan yang diperlukan.

“Oleh kerana Perdana Menteri sudah buat keputusan, kita perlu menyokong dan mendengar penjelasan­nya dalam forum yang betul, iaitu menerusi Kabinet atau Majlis Presiden PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jamuan Hari Raya Perdana bersama Anwar yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di pekarangan Masjid Kubang Semang di sini, malam kelmarin.

Penjelasan pastikan SPRM kekal bebas

Latheefa dilantik sebagai KP SPRM baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu, menggantik­an Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memilih untuk memendekka­n perkhidmat­an kontrak beliau lebih awal.

Anwar berkata, penjelasan itu antara lain wajar diberikan bagi memastikan SPRM kekal bebas, selain penjawat jawatan berkenaan perlu dilihat profesiona­l dan tidak dipengaruh­i pegangan politik, perasaan atau gabungan.

“Penjelasan kepada orang ramai juga perlu kerana isu pelantikan ini berkait dengan manifesto, selain mengapa kita memenuhi atau menghormat­i manifesto juga perlu diperjelas­kan bagi mengelak kekeliruan.

“Pada masa sama kita juga sedar tugas untuk memastikan keberkesan­an perjalanan pentadbira­n kerajaan serta sokongan terhadap inisiatif dibuat Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata pihaknya tidak menerima sebarang makluman daripada Latheefa sebelum bekas ahli PKR itu bersetuju menerima lantikan bagi mengisi jawatan berkenaan.

“Latheefa tidak menghubung­i saya sebelum terima jawatan ini, tetapi tidak maklum sama ada dia memberi tahu pemimpin lain. Saya hanya maklum mengenai perkara ini menerusi media,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia