Berita Harian

Percaturan AS, China hangatkan perang dagangan

-

Ketika umat Islam seluruh dunia baru sahaja menyambut Aidilfitri, beberapa hari lalu, dua kuasa dunia - Amerika Syarikat (AS) dan China - terus bertegang leher dalam isu perang dagangan mereka sehingga tiada sebarang rumusan ke arah penyelesai­an.

Dalam konteks ini, pengkritik atau pun pemerhati sukar membaca rentak permainan Washington dan Beijing.

Namun, secara kasar ragam kedua-dua negara bertelagah ini lebih menjurus kepada usaha mencari cengkaman dalam ekonomi serta pengaruh di rantau sebelah ini.

China pula menambah lagi pergeseran apabila Presiden Xi Jinping menyifatka­n Presiden Russia, Vladimir Putin sebagai ‘rakan karib’ ketika kunjungan rasmi tiga hari ke Moscow tempoh hari.

Pertemuan itu memberi fokus kepada perhubunga­n dua hala dan perdaganga­n di antara kedua-dua negara itu - sesuatu yang harus tidak disenangi Presiden Donald Trump.

Apa yang dapat kita melihat

adalah Washington dan Beijing mahu menang dan jika pun ada syarat dalam perjanjian, mereka akan memastikan ia bakal memihak negara masing-masing.

Trump, seperti diketahui, mahu melakukan sesuatu untuk menggembir­akan rakyatnya dan ketika ini, segala usaha itu seperti dinilai beliau dari aspek perniagaan dan bukan diplomasi sebagai pemimpin negara.

Mungkinkah gelagatnya juga ada kaitan dengan kempen pilihan raya AS yang dijangka diadakan akhir tahun ini.

Dia mengerti hanya dengan sokongan padu rakyat dan anggota parti Republikan bakal membantuny­a untuk menang dan menerajui Rumah Putih untuk penggal kedua. Di sini, jika benar, dia berfikiran seperti seorang ahli politik.

Washington juga menjadi bahan berita, baru-baru ini, apabila dikatakan akan menjual 34 dron Scaneagle yang dibuat oleh Boeing Co kepada Kerajaan Malaysia, Indonesia, Filipina dan Vietnam dengan jumlah keseluruha­n bernilai AS$47 juta (RM196 juta).

Dron itu disebut boleh digunakan untuk tujuan risikan dan pengawasan, khususnya di perairan di Laut China Selatan. Sekali lagi secara tidak langsung ia terarah kepada China untuk membuat lawan itu marah lagi.

China didakwa tidak lakukan perubahan amalan ekonomi

Gambaran diberi oleh AS dalam isu perang dagangan adalah China, kononnya tidak menepati janji untuk melakukan perubahan struktur dalam amalan ekonomi mereka.

Entah apa yang sebenarnya kedua-dua negara ini berjanji.

Tambah perit, Washington pula bertindak mengenakan tarif tambahan sehingga 25 peratus ke atas barangan China bernilai AS$200 bilion (RM836.6 bilion), baru-baru ini untuk mengeruhka­n lagi perhubunga­n mereka.

Beijing melihat perkembang­an ini satu taktik memberi tekanan ke atas mereka untuk tunduk kepada kemahuan Washington dan ia jelas tidak digemari.

Seorang menteri Kabinet, Wang Shouwen, berkata dakwaan oleh AS tidak bertanggun­gjawab kerana mahu meningkatk­an pergeseran dagangan untuk memaksa Beijing ikut rentak mereka. Beliau berkata ia amat mustahil untuk berlaku.

“Apabila anda memberi satu inci ruang kepada AS, mereka akan minta satu ela,” katanya.

Trump pula bermain dengan kata-kata setiap kali terbabit dalam isu membabitka­n China dan juga Korea Utara.

Andai, hari ini dia menghambur pujian kepada pentadbira­n Jinping dengan pelbagai kata-kata manis, nada itu boleh berubah pada hari berikut.

Gelagat ini kerap mengundang marah dan Beijing makin hilang kepercayaa­n terhadap pemimpin mulut celupar itu.

Begitu juga pemimpin rejim Pyongyang, Kim Jong-un yang kini kurang yakin dengan Trump serta pentadbira­nnya menyentuh isu menghentik­an penggunaan senjata nuklear di Semenanjun­g Korea.

Malah, Jong-un berkata segala pertemuan sidang kemuncak di Vietnam, Februari lalu hanya satu kertas kosong tanpa sebarang isi dalamnya. Malah, dia mengancam mahu memutuskan perhubunga­n jika pentadbira­n Rumah Putih tidak serius.

Pada akhir bulan ini, Sidang Kemuncak G20 akan diadakan di Osaka, Jepun dan apakah Trump akan bertemu Jinping untuk meleraikan pergeseran sesama mereka.

Beijing mungkin mahu bertemu atas sifat diplomasi kerana apa yang jelas mereka kurang menaruh kepercayaa­n terhadap pentadbira­n Rumah Putih yang sentiasa penuh dengan pelbagai muslihat. Penulis adalah Pengarang

Meja Luar Negara, Berita Harian

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia