Berita Harian

Bayi maut MPV, kereta bertembung

3 ahli keluarga parah kenderaan dirempuh dari arah bertentang­an

- Oleh Muhammad Apendy Issahak

Seorang bayi perempuan maut, manakala tiga ahli keluargany­a parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki bertembung sebuah kereta di Kilometer 54, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik -Jeli di sini, malam kelmarin.

Kejadian pada jam 10 malam itu

membabitka­n dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Alza dengan enam mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Perak, Superinten­dan Zakaria Abd Rahman, berkata, Perodua Myvi berkenaan yang dipandu seorang wanita berusia 32 tahun yang juga pegawai kanan polis berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah.

Katanya, pegawai polis itu memandu bersendiri­an dari arah Jeli ke Gerik, manakala MPV dinaiki lima sekeluarga dari arah bertentang­an.

Gagal kawal kenderaan

“Siasatan awal mendapati pemandu Myvi dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas memasuki laluan bersebelah­an sebelum merempuh Perodua Alza yang dari arah bertentang­an,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, Alza berkenaan dipandu Omar Shaferee Mamat, 44; dan dinaiki bersama isterinya Sarkhiyah Manshor, 37, serta tiga anak mereka iaitu Syaza Thoyyibah, 11; Ammar Syazwan, 9, dan Syifaa Thahirah, 12 bulan.

Katanya, keluarga lima beranak itu beralamat di Taman Sri Sekati Manir, Kuala Terengganu.

Meninggal di lokasi kejadian

Zakaria berkata, anak bongsu pasangan itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala ibunya dan abang serta kakaknya parah.

“Pemandu Alza terselamat manakala pegawai polis berkenaan cedera ringan.

“Tiga beranak yang parah itu dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat,” katanya.

Zakaria berkata, nahas berlaku di lokasi jalan basah akibat hujan dan berselekoh menurun bukit.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

 ?? [FOTO IHSAN PEMBACA] ?? Keadaan Perodua Myvi yang remuk teruk selepas merempuh sebuah Perodua Alza di Kilometer 54, Jalan Raya Timur Barat Gerik -Jeli, malam kelmarin.
[FOTO IHSAN PEMBACA] Keadaan Perodua Myvi yang remuk teruk selepas merempuh sebuah Perodua Alza di Kilometer 54, Jalan Raya Timur Barat Gerik -Jeli, malam kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia