Berita Harian

Bekas pemandu lori hanya beraya atas katil

-

Marang: “Raya pun seperti tidak raya sebab bahagian belakang sentiasa sakit dan membataska­n pergerakan,” kata Shamsuddin Awang, 53, yang menderita sakit saraf dan tulang belakang selepas terjatuh daripada pokok duku empat tahun lalu.

Akibat penyakitny­a itu, bekas pemandu lori yang juga bapa kepada 10 anak itu tidak dapat menguruska­n dirinya dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan isteri, Anisuzana Wahab, 42.

Beliau berkata, sejak menghidap penyakit itu empat tahun lalu, hidupnya tidak lagi ceria dan hari mendatang yang dilaluinya sama sahaja kerana kesakitan dialaminya tidak pernah berkuranga­n atau beransur sembuh.

“Tiada beza hari biasa dan Aidilfitri kerana sepanjang tempoh ini, saya hanya mampu beraya di atas katil,” katanya ketika ditemui BH, di sini semalam.

Shamsuddin sebelum itu dikunjungi wakil daripada Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Marang di rumahnya di Kampung Gong, Rusila, di sini bagi menyampaik­an sumbangan sempena Aidilfitri.

Isteri sentiasa beri sokongan

Beliau berkata, kesedihann­ya sedikit terubat apabila ada kenalan atau keluarga yang datang menziarah dan bertanya khabar.

“Apabila ada yang datang menjenguk, ia memberi motivasi dan kegembiraa­n kepada saya. Namun, saya bersyukur kerana ahli keluarga, terutama isteri sentiasa memberi sokongan di sebalik penderitaa­n ini. Tanpa isteri, hidup saya tentunya tidak terurus,” katanya.

Bagi Anisuzana, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurk­an sumbangan kepada suami dan keluargany­a yang sedikit sebanyak dapat meringanka­n beban mereka.

“Suami sudah tidak mampu berkerja dan kami mempunyai enam anak yang masih bersekolah berusia antara lima hingga 17 tahun,” katanya yang turut mendapat bantuan RM750 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Marang, Hartini Hussin, berkata menjadi tanggungja­wab pihaknya menjaga kebajikan golongan yang kurang bernasib baik di daerah Marang.

“Kami sentiasa peka dengan masalah dihadapi penduduk di daerah ini dan cuba membantu sekiranya menerima maklumat mengenai penduduk yang kurang bernasib baik,” katanya.

 ?? [FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI /BH] ?? Shamsuddin dibantu isteri ketika ditemui di Kampung Gong, Rusila.
[FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI /BH] Shamsuddin dibantu isteri ketika ditemui di Kampung Gong, Rusila.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia