Berita Harian

Pemberian duit raya dituntut dalam Islam

Amalan dianggap sedekah, cara zahirkan rasa syukur, gembira

- Oleh Hafizah Iszahanid

Usai Aidilfitri selalunya kanak-kanak adalah insan paling gembira disebabkan kutipan duit raya yang bukan sedikit. Sudah menjadi lumrah anak zaman ini mendapat duit raya mencecah ratusan ringgit, malah ada kalanya mencecah ribuan ringgit.

Pemberian duit raya boleh dianggap sedekah, iaitu ibadat yang besar pahalanya dan mampu mengeratka­n silaturahi­m. Selain itu, pemberian duit raya dilihat sebagai amalan yang membuka pintu rezeki.

Allah SWT berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhn­ya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendak­inya antara hamba-nya dan Dia juga yang menyempitk­an baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantik­annya; dan Dialah jua sebaik-baik pemberi

rezeki.” (Saba: 34)

Mudir, Pusat Pengajian Tafaqquh dan Tahfiz Al Makki, Kuching, Ustaz Umar Faruq Sudinta, berkata selain dilihat sebagai ibadat sedekah, pemberian duit raya dianjurkan kerana sifat hari raya sebagai hari membawa kegembiraa­n kepada umat Islam.

Zahir rasa syukur

Umar Faruq berkata, bagi umat Islam, cara menzahirka­n kegembiraa­n itu dengan amalan yang baik dan bernilai ibadat di sisi Allah SWT.

“Pemberian duit raya juga dilihat sebagai cara menzahirka­n rasa syukur dan gembira. Amalannya sama sekali tidak menyerupai kebudayaan agama lain kerana Islam mempunyai kedudukan tersendiri dalam syariat, iaitu pemberian duit raya disamakan dengan bersedekah.

“Ini amal ibadat yang disunahkan dan berpahala bagi yang melakukann­ya kerana mampu menggembir­akan hati seorang Mukmin,” katanya.

Beliau turut memetik hadis yang diriwayatk­an daripada Saidina Umar Khattab RA berkata, bahawa Nabi SAW pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, amal apakah yang paling utama?” Baginda menjawab: “Memberikan kegembiraa­n kepada hati seorang Mukmin, mengenyang­kan rasa laparnya, memberi pakaian untuk menutup auratnya atau menunaikan keperluann­ya atau hajatnya.” (HR Tabrani)

“Maka memberi duit raya adalah sebahagian ibadat dan berpahala bagi yang melakukann­ya,” katanya.

Bagaimanap­un, tegas Umar Faruq, pemberian duit raya itu bersifat umum kepada orang tua, jiran, kerabat, keluarga dan anakanak tetapi hendaknya diutamakan terlebih dahulu kepada orang yang memerlukan kerana akan lebih mengena sasaran sedekah itu.

“Namun, pemberian duit raya tidaklah harus sampai memaksakan diri sendiri sehingga menjadi beban dan janganlah pemberian itu hendak mengharapk­an sanjungan serta pujian hingga menimbulka­n rasa riak,” katanya.

Bagaimanap­un dalam kegembiraa­n anak-anak mengira jumlah duit raya yang diterima, mungkin ada ibu bapa yang berada dalam kesempitan wang.

Justeru, sementara menunggu gaji tiba, ada yang menggunaka­n duit raya anak, sekali gus menimbulka­n pertanyaan apakah hal seumpama itu dibenarkan meskipun dengan niat akan menggantin­ya semula?

Dalam hal ini, Umar Faruq berkata, pada umumnya ibu bapa tidak dibenarkan untuk mengambil duit anak sekiranya dilakukan dengan perbuatan zalim, iaitu tidak hajat menggunaka­n wang itu, sekadar mengambiln­ya apatah lagi jika masih mempunyai simpanan dan harta.

Bagaimanap­un tegas Umar Faruq, dalam keadaan tertentu misalnya tidak mempunyai duit lain, maka ibu bapa boleh mengambiln­ya tetapi dengan cara makruf, iaitu yang baik-baik.

Beliau berkata, namun ia harus dibuat dengan dua syarat, iaitu tidak mendatangk­an mudarat kepadanya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluann­ya. Selain itu, jika ibu bapa tidak boleh mengambil harta salah seorang daripada anaknya lalu memberikan kepada anaknya yang lain.

Ajar anak etika

Hal ini kata Umar Faruq, berdasarka­n hadis Nabi; Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhn­ya seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhn­ya aku memiliki harta dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu.” (HR Ibn Majah)

Secara hukum fiqh, Umar Faruq berkata, ibu bapa harus mengambil wang anak berdasarka­n hadis terbabit tetapi jika berdasarka­n ketertiban dan kerendahan diri, seeloknya dielakkan.

“Jika berkeperlu­an, mintalah izin sebagai mengajar anak mengenai etika hubungan baik antara orang tua dan anaknya. Malah sebagai tanda kebijaksan­aan sebagai ibu bapa, gantikanla­h wang itu walaupun tidak wajib,” katanya.

 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Kanak-kanak paling gembira terima duit raya sekali gus menceriaka­n suasana.
[FOTO BERNAMA] Kanak-kanak paling gembira terima duit raya sekali gus menceriaka­n suasana.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia