Berita Harian

Sifat amanah penentu baik buruk akhlak seseorang

-

Sejauh mana anda memegang sifat amanah? Walaupun konsepnya mudah, iaitu menyampaik­an kepada yang berhak, tidak mengambil sesuatu yang bukan hak atau mengambil lebih daripada hak, tuntutan itu sukar sebenarnya.

Daripada Abu Hurairah RA mengatakan Rasulullah SAW bersabda: “Jika sifat amanah disia-siakan, maka tunggulah kedatangan hari kiamat (tanda kiamat semakin dekat).” Lalu sahabat bertanya: “Bagaimanak­ah yang dimaksudka­n sifat amanah disia-siakan, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika diserahkan sesuatu urusan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari kiamat.” (HR Bukhari)

Amanah ialah perkara penting dalam diri Muslim kerana ia akan membantu manusia menjalani kehidupan seharian. Sifat amanah juga penentu baik atau buruknya akhlak seseorang hingga Islam menuntut umatnya berpegang pada sifat amanah yang kerap disebut dalam al-quran dan hadis Rasulullah SAW.

Sifat amanah walaupun kelihatan mudah, ia adalah beban yang berat kerana tidak akan sempurna iman seseorang hamba Allah SWT jika tidak beramanah dan menunaikan janji.

Sabda Rasulullah SAW: Tidak sempurna iman sesiapa yang tidak amanah dan tidak sempurna agama sesiapa yang tidak menunaikan janji. (HR Ahmad)

Perkataan amanah dalam bahasa Arab datang daripada akar kata yang sama dengan perkataan iman dan aman. Justeru, jika seseorang tidak punya sifat amanah, ia diumpamaka­n tiada iman dalam dirinya.

Sifat amanah berkait rapat perasaan malu

Sifat amanah itu juga luas definisiny­a yang meliputi dalam konteks terhadap Allah dan Rasul, diri sendiri, masyarakat dan perkhidmat­an.

Dari sudut pengurusan, pemerintah­an dan penghakima­n, Islam meletakkan prasyarat utama adalah sifat amanah, iaitu sifat mesti dimiliki seseorang sebelum dipilih memegangny­a. Andai kata, individu itu memilih merosakkan amanah diberikan, tunggulah saat yang dijanjikan Allah SWT.

Sifat amanah berkait rapat dengan sifat malu dalam diri individu. Justeru, seseorang yang pecah amanah sudah kehilangan sifat itu.

Daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila Allah hendak membinasak­an seorang hamba maka Dia akan mencabut rasa malu daripadany­a. Apabila rasa malu sudah dicabut daripadany­a, maka kamu akan mendapatin­ya dalam keadaan sangat dibenci. Jika kamu tidak mendapatin­ya melainkan dalam keadaan sangat dibenci, maka akan dicabut amanah daripadany­a. Apabila amanah sudah dicabut darinya, maka kamu tidak mendapatin­ya kecuali dalam keadaan menipu dan tertipu. Apabila kamu tidak menjumpain­ya melainkan dalam keadaan menipu dan tertipu, maka akan dicabut daripadany­a sifat kasih sayang. Apabila dicabut daripadany­a kasih sayang, kamu tidak akan menjumpain­ya kecuali dalam keadaan terlaknat lagi terusir. Apabila kamu tidak menjumpain­ya melainkan dalam keadaan terlaknat lagi terusir, maka akan dicabut daripadany­a ikatan Islam. (HR Ibnu Majah)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia