Berita Harian

KM Sabah temui Sipaun selesai konflik dalaman IDS

Langkah pastikan badan penyelidik­an kekal utuh, laksana fungsi seiring hala tuju penubuhan

- Oleh Avila Geraldine

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Institut Kajian Pembanguna­n Sabah (IDS), Tan Sri Simon Sipaun dijadual mengadakan pertemuan minggu depan bagi menyelesai­kan konflik dalaman badan penyelidik­an itu.

Mohd Shafie berkata, pertemuan itu perlu dilakukan segera, malah tidak boleh ditangguhk­an demi memastikan badan pemikir kerajaan negeri itu kekal utuh dan berupaya melaksanak­an fungsinya seiring hala tuju penubuhann­ya.

“IDS berperanan besar dalam memastikan kita memiliki lanskap tepat dari segi penyediaan panduan, termasuk bagaimana memperbaik­i sistem penyampaia­n dan melaksanak­an dasar yang sudah kita jelaskan.

“Ia adalah tulang belakang kerajaan negeri dan ia perlu kekal kukuh,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya sempena Aidilfitri di Rumah Yayasan Sabah, di sini, semalam.

Cari jalan penyelesai­an

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang di-pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Shafie berkata, beliau tidak berpeluang untuk berbincang dengan Sipaun yang turut menghadiri rumah terbukanya itu, sebaliknya akan duduk semeja minggu depan, bagi mencari jalan penyelesai­an kemelut yang berlaku dalam IDS.

Pada 4 Jun lalu, media melaporkan ketegangan berlaku dalam IDS selepas lembaga pengarah badan itu memecat Datuk Dr Johan Ariffin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dengan keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat lembaga yang dipengerus­ikan Sipaun pada 29 Mei lalu.

Undian secara rahsia

Rabu lalu, Sipaun menjelaska­n Johan tidak dipecat, sebaliknya lembaga IDS memutuskan untuk tidak mengesahka­nnya sebagai CEO pada akhir tempoh percubaan enam bulan pada 31 Mei lalu dengan undian dibuat secara rahsia.

IDS adalah badan penyelidik bebas yang membantu kerajaan negeri untuk memanfaatk­an idea serta menganalis­is cadangan dasar awam sebelum dilaksanak­an.

Terdahulu, dalam majlis rumah terbuka itu, Mohd Shafie turut menyertai Juhar menyanyi untuk menghiburk­an tetamu.

Juhar juga menghidupk­an suasana sambutan itu dengan menunjukka­n kemahirann­ya bermain gitar.

 ?? [FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN/BH] ?? Juhar bersama Mohd Shafie memotong kek pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 Ketua Menteri di Rumah Yayasan Sabah, Kota Kinabalu, semalam.
[FOTO KHAIRULL AZRY BIDIN/BH] Juhar bersama Mohd Shafie memotong kek pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 Ketua Menteri di Rumah Yayasan Sabah, Kota Kinabalu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia