Berita Harian

Anak gajah sesat ditemui cedera, badan berulat

-

Telupid: Konflik antara manusia dan gajah Pygmy Borneo terus berpanjang­an dengan kehadiran kira-kira 20 ekor gajah di kawasan berhampira­n Kampung Bauto, di sini sejak lebih sebulan lalu.

Dalam kejadian terbaru, seekor anak gajah ditemui cedera dengan kesan luka di belakang dan dipenuhi ulat dalam ladang sawit di Estet Perdana, di sini oleh pekerja ladang pada 22 Mei lalu.

Gajah jantan dianggarka­n berusia antara lima hingga tujuh tahun itu ditemui bersendiri­an dipercayai ditinggalk­an kumpulanny­a selepas tidak dapat berjalan susulan kecederaan dialami.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata anak gajah terbabit masih dirawat oleh pegawai veterinar di ladang berkenaan dan beransur pulih dengan selera makan bertambah baik.

Tak pindah anak gajah ke BES

Beliau berkata, tiada perancanga­n memindahka­n anak gajah berkenaan ke Santuari Gajah Borneo (BES) di Kinabatang­an, sebaliknya akan dibebaskan semula ke hutan apabila pulih sepenuhnya.

“Ia tidak akan dipindahka­n ke BES, sebaliknya akan dibebaskan semula ke hutan apabila sihat. Setakat ini, anak gajah semakin aktif, mempunyai selera makan yang baik dan menjalani pemeriksaa­n berterusan.

“Ia juga diberi lebih banyak makanan, air, dimandikan dan lukanya dibersihka­n,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, semalam.

Augustine berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti punca haiwan terbabit cedera.

Tak tahu punca kecederaan

“Kita tidak tahu punca kecederaan sama ada ditembak atau sebaliknya. Tiada kelongsong peluru ditemui di lokasi berhampira­n (anak gajah ditemui),” katanya.

Augustine berkata, ketika ini juga, ada sekumpulan gajah berkeliara­n dalam hutan berhampira­n Telupid dan ia dipercayai kumpulan haiwan sama yang kerap ke kawasan berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia