Berita Harian

Martabak Singapura tiada ‘kembar’ di Malaysia

-

Tidak lengkap kunjungan ke Singapura kalau tak ‘pekena’ martabak istimewa restoran Singapore Zam Zam. Sebenarnya martabak Singapura sangat sinonim dalam kalangan pelancong, terutama dari Malaysia.

Ada yang sanggup datang ke Singapura, balik hari, semata-mata hendak menikmati keenakan martabak daging, ayam, kambing dan paling sedap, martabak rusa.

Sebaik sahaja anda masuk ke dalam restoran berkenaan, hampir 90 peratus pengunjung­nya dari Malaysia dan selebihnya warga tempatan yang mengusahak­an perniagaan fabrik di kawasan sekitar Arab

Street dan Bussorah Street. Anda boleh lihat, hampir setiap meja makan, pasti ada hidangan martabak, diikuti menu lain seperti beriani ayam dan daging.

Ada sesetengah pelanggan pula, selesai menikmati martabak di restoran berkenaan, mereka sanggup bungkus atau tapau beberapa keping lagi martabak untuk dibawa pulang sebagai memenuhi selera diri sendiri atau pesanan daripada keluarga mahupun rakan.

Sangat berbaloi

Begitulah ‘penangan’ martabak Singapore Zam Zam dalam kalangan orang Malaysia, termasuk pelancong asing.

Cuma satu sahaja pesanan penulis, apabila anda memesan pilihan martabak yang memenuhi cita rasa, jangan dibandingk­an dengan nilai mata wang Malaysia.

Apabila anda memesan martabak rusa bersaiz besar (L), makan sahaja dan nikmati sepuaspuas keenakan sajian berkenaan. Percayalah, walaupun mahal, sangat berbaloi sebab di Malaysia tiada ‘kembar’ martabak Singapura.

Sebenarnya, seluruh Singapura, memang banyak restoran atau gerai yang menjual martabak. Tetapi, rasa yang asli, pastinya di Singapore Zam Zam. Malah, ada juga pengusaha makanan dari Malaysia yang mendakwa premis mereka menjual martabak Singapura. Anda jangan mudah terpedaya kerana rasanya ‘ke laut dalam’.

Seperkara lagi, sekiranya anda ingin puas makan martabak mahupun beriani di restoran berkenaan, bawalah mata wang tunai Singapura secukupnya kerana juruwang mereka tidak menerima sebarang pembayaran kad debit atau kredit. Jangan risau tidak cukup mata wang tunai Singapura kerana bersebelah­an restoran berkenaan ada kedai pengurup wang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia