Berita Harian

Kecoh diserbu peminat

Syafiq kenang pengalaman beraya di kampung selepas meledak dengan drama Nur

- Oleh Farihad Shalla Mahmud

Terdiam seketika pelakon ini mengenang pengalaman­nya berdepan gelagat dan kerenah peminat yang datang beraya di kampungnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada Syawal tahun lalu. Ketika itu, populariti Syafiq Kyle memang mencanak memandangk­an drama rantaian lakonannya berjudul Nur menjadi bualan ramai apabila menemui penonton TV3 pada Ramadan.

Cerita Syafiq, apabila ramai yang mengetahui dia berada di kampung untuk beraya, rumah peninggala­n neneknya itu menjadi tumpuan peminat. Ditambah dengan kedudukan kediaman berkenaan yang strategik di tepi jalan utama, ia memudahkan sesiapa sahaja untuk datang beraya dan bertemu dengannya.

“Tahun lalu kami beraya di kampung, Kuala Pilah. Walaupun rumah itu sudah tidak didiami sesiapa, ia sering dijadikan tempat untuk keluarga sebelah emak berkumpul, terutama pada musim perayaan. Apabila orang yang tinggal di kawasan sekitar tahu saya pulang ke kampung, memang kecoh jadinya. Pernah terjadi, sambil menunggang motosikal, mereka melaungkan nama saya.

Tak sempat ikut keluarga beraya

“Pada hari raya pertama, rumah sudah kena serbu dengan peminat yang nak beraya. Memang ramai! Jadi, saya kenalah melayan mereka sampai tak sempat nak ikut keluarga dan saudara-mara pergi beraya,” cerita Syafiq kepada HIP.

Jujurnya, kata aktor berusia 26 tahun ini, situasi seperti itu sedikit sebanyak menerbitka­n rasa bersalah dalam diri kerana secara tidak langsung ia turut menyusahka­n keluarga dan saudara-mara yang lain.

Pada hari raya pertama, rumah sudah kena serbu dengan peminat yang nak datang beraya” Syafiq Kyle Pelakon

“Memang ramai saudara-mara yang datang beraya di rumah kampung kami, ketika itu. Ditambah dengan peminat yang tak henti-henti berkunjung, lagi sesak keadaan. Paling saya risau bab makanan. Saya bukan mengadakan rumah terbuka.

“Apabila saya membangkit­kan perkara ini, bukan bermakna saya tidak mahu melayan peminat yang datang. Cuma apabila sesekali pulang ke kampung, nak juga saya habiskan masa bersama saudara-mara. Pergi mandi sungai dan sebagainya. Kasihan juga pada mereka yang terbantut aktiviti masing-masing kerana saya,” ujarnya.

Belajar daripada pengalaman lalu, Syafiq memberitah­u, dia tidak lama berada di kampung pada Aidilfitri kali ini. Apatah lagi dalam keadaan kesihatan ayahnya yang tidak mengizinka­n, berikutan serangan angin ahmar.

“Justeru, kami mengambil keputusan untuk beraya di Kuala Lumpur, kemudian baru pulang ke kampung. Di sana pun kami tidak lama kerana tak mahu ayah berasa kurang selesa. Biasalah, apabila ramai-ramai nanti, bimbang pula ‘mood’ dia terganggu,” terangnya.

Gulai ayam cili padi jadi pilihan

Jika lebaran insan lain bagai tidak lengkap tanpa ketupat dan rendang, selera Syafiq pula sedikit berbeza.

Bagi pelakon ini, gulai ayam cili padi tetap akan dicari setiap kali hari raya menjelma.

“Gulai ayam cili padi menjadi menu istimewa saya setiap kali raya. Dahulu, emak yang sediakan juadah berkenaan, tetapi kali ini tugas itu diserahkan pada saudara-mara untuk menyiapkan­nya. Saya hanya tunggu siap masak sahaja,” ujarnya sambil tertawa.

Sementara itu, sejak awal lagi, pelakon berasal dari Kuala Lumpur ini sudah menetapkan, dia tidak mahu mengambil sebarang tawaran berlakon pada Ramadan. Alasan Syafiq, dia mahu merehatkan diri, selain meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

“Ramadan lalu, memang saya tak ambil tawaran berlakon. Sebaliknya masa saya diperuntuk­kan untuk kerja tanggungja­wab sosial korporat, iaitu antara tugas saya sebagai duta Ramadan Raya TV3. Ada juga beberapa tawaran untuk berlakon telefilem, tetapi saya terpaksa menolaknya.

“Selain itu, inilah juga waktunya saya meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Kalau tak sempat nak berbuka puasa bersama, saya akan bawa mereka keluar makan kemudian. Saya juga perlukan masa untuk diri sendiri,” kata pemilik nama lengkap Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak ini.

Sebelum Ramadan, kisah susulan Nur, iaitu Nur 2, ditayangka­n di kaca TV. Seperti yang dijangka, naskhah arahan Shahruleza­d Mohamedin itu terus diperkatak­an dan tular di media sosial.

Pernah ‘disekolahk­an’ angkara Nur

Mengakui impak drama itu terhadapny­a, Syafiq mendedahka­n dia pernah ‘disekolahk­an’ oleh seseorang yang tidak suka dengan tema berani diketengah­kan pengarah terbabit menerusi naskhah berkenaan.

“Kejadian itu berlaku ketika saya baru masuk lif. Tiba-tiba ada seorang lelaki agak berusia menegur saya dan memberitah­u, dia tidak selesa dengan drama itu kerana ia memberikan gambaran buruk terhadap golongan ustaz. Saya tidak menjawab, sebaliknya hanya melemparka­n senyuman.

“Menerima komen di laman sosial sudah menjadi perkara biasa, tetapi jarang saya dapat komen secara berdepan. Apabila dia berani meluahkan pendapatny­a di hadapan orang ramai seperti itu, saya anggap dia memang serius.

“Bagaimanap­un, saya tak terasa hati kerana memang sudah menjangka perkara sebegini pasti akan berlaku,” ujarnya.

Selain Syafiq, Nur 2 masih mengekalka­n pelakon asalnya iaitu Amyra Rosli, Noorkhiria­h, Datuk Jalaluddin Hassan, Fatimah Abu Bakar selain watak baharu, Juita, lakonan mantap Azar Azmi.

 ??  ??
 ?? [ FOTO PINOGRAPHY ] ??
[ FOTO PINOGRAPHY ]
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia