Berita Harian

Izzah korban raya demi negara

Rela lupakan pelbagai juadah enak sempena lebaran untuk harum nama Malaysia di pentas antarabang­sa

- Oleh Mohd Khairie Khalid

Sambutan Aidilfitri sememangny­a dinanti semua umat Islam selepas berpuasa selama 30 hari di bulan Ramadan.

Pelbagai juadah disediakan bagi meraikan kedatangan Syawal termasuk menu wajib seperti ketupat dan rendang.

Namun ia sedikit berbeza bagi atlet gimnas kebangsaan, Izzah

Amzan yang terpaksa melupakan juadah yang menjadi kegemaran demi kelangsung­an dalam bidang sukan.

“Saya suka rendang ayam, tart nenas tapi itulah, susah untuk saya nak makan kerana saya perlu menjaga pemakanan,” kata atlet berusia 19 tahun itu ketika ditemui BH Sukan di Gimnasium Majlis Sukan

Negara (MSN), Bukit Jalil, baru-baru ini.

Kawal pemakanan

Izzah yang kini memiliki berat badan 44 kilogram (kg) menjelaska­n bahawa dia sebenarnya seorang yang sukakan makanan, namun disebabkan bidang sukan yang diceburi ketika ini, dia perlu menahan nafsu.

“Saya suka makan, tapi saya tak boleh lebih-lebih kerana kena kawal pemakanan dan perlu sentiasa mengimbang­i berat badan. Kalau badan naik, ia akan memberi kesan seperti kecederaan dan sebagainya.

“Jadi saya kena tahan nafsu makan dulu. Saya sebenarnya suka makan ‘desert’, nasi, pasta dan kalau Raya, saya nak makan lemang. Tapi itulah tapi tak boleh,” kata Izzah yang akan melakukan senaman dan berjoging jika berat badannya meningkat.

Izzah yang turut dikenali sebagai Jija dalam kalangan keluarga mengakui yang dia juga tidak boleh terlalu lama bercuti untuk sambutan Aidilfitri kerana ingin memberi tumpuan kepada Kejohanan Gimrama Asia 2019 di Thailand yang dijadual berlangsun­g hujung bulan ini.

Zombie jadi teman rapat

“Saya hanya ada satu baju saja untuk raya kerana saya bukan jenis beraya sakan.

“Tahun ini cuti raya saya mungkin satu atau dua hari saja sebab nak fokus untuk Kejohanan Asia.

“Kalau cuti lama saya takut berat badan naik. Tak rasa nak berlatih pula nanti. Jadi untuk elak ia terjadi, cuti sehari atau dua sudah cukup untuk saya,” kata Izzah yang lebih selesa menghabisk­an masa di rumah ketika cuti berbanding keluar bersiar-siar.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu, menceritak­an yang dia juga mula suka dengan kucing comel malah haiwan peliharaan itu sedikit sebanyak mampu membantuny­a menghilang­kan tekanan.

Izzah begitupun sebelum ini tidak menyukai haiwan berkenaan.

“Dulu saya takut kucing kerana risau dicakar, tapi sekarang saya dah okey sebab kucing saya ini jinak. Saya namakan kucing saya Zombie.

“Saya suka buli Zombie dan mampu membantu menceriaka­n hari saya serta menghilang­kan tekanan,” kata Izzah yang menerima Anugerah Puteri Sukan pada Majlis Anugerah Sukan Kementeria­n Pendidikan Malaysia MSSMMILO 2018, baru-baru ini.

Sebagai seorang atlet gimrama senior kebangsaan, Izzah pernah meraih dua pingat emas dalam acara berpasukan dan aparatus bola serta perak menerusi acara belantan di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Kalau cuti lama saya takut berat badan naik. Tak rasa nak berlatih pula nanti. Jadi untuk elak ia terjadi, cuti sehari atau dua sudah cukup untuk saya” Izzah Amzan, Atlet gimnas kebangsaan

 ?? [FOTO SALHANI IBRAHIM/BH] ??
[FOTO SALHANI IBRAHIM/BH]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia