Berita Harian

23 rumah terbakar ketika ziarah raya

-

Sandakan: Sebanyak 23 rumah di Kampung Karamuntin­g, dekat sini, musnah dalam kebakaran pada jam 2 petang semalam.

Tinjauan di lokasi mendapati penduduk yang masih‘ sibuk’ kunjung mengunjung sempena Aidilfitri ternyata terkejut dengan kejadian itu.

Beberapa keluarga yang berada di rumah sempat mengalihka­n harta benda ke kawasan selamat namun ramai juga tidak sempat berbuat demikian.

Penduduk, Awang Kecil Mudin, 53, berkata ketika kejadian dia dan keluarga baru mahu berehat di dalam rumah.

Bagaimanap­un, katanya, secara tiba-tiba dia dikejutkan isteri yang memaklumka­n rumah jiran mereka sedang terbakar.

“Saya segera bangun dan mengarahka­n semua ahli keluarga keluar ke tempat selamat sambil mengambil sedikit barang.

“Tetapi api merebak dengan cepat dan terus memusnahka­n sebahagian besar rumah kami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Syukur keluarga selamat

Awang berkata, walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa keluarga, terutama pada hari keempat Aidilfitri, dia bersyukur kerana semua keluargany­a selamat.

Seorang lagi mangsa, Supardi Jamal, 32, berkata sebelum kejadian dia dan keluargany­a sedang berehat.

Katanya, tiba-tiba orang ramai berteriak dan apabila dia melihat ke arah luar rumah, api sudah hampir rumahnya.

“Kami berusaha secepat mungkin untuk menyelamat­kan ahli keluarga dan harta benda, namun hanya sebahagian barangan rumah dapat dibawa keluar,” katanya.

Supardi berkata, dia dan keluarga amat sedih dengan kejadian itu dan mereka mungkin terpaksa menumpang di rumah keluarga selepas ini.

Rumah berstruktu­r kayu

Sementara itu Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Anddre Andrew berkata, kebakaran membabitka­n 23 rumah berstruktu­r kayu.

Katanya, kedudukan rumah yang berhampira­n antara satu dengan yang lain menyebabka­n api merebak dengan cepat.

“Api dapat dikawal pada jam 3.35 petang dan setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia