Berita Harian

Kastam perketat periksa kontena

Pastikan tiada bahan terlarang terlepas masuk Malaysia

-

Pemeriksaa­n lebih ketat akan dilakukan terhadap kontena di semua pelabuhan bagi memastikan tiada bahan sisa plastik yang dilarang, terlepas masuk ke negara ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Paddy Abdul Halim, berkata pihaknya bekerjasam­a dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membantera­s kegiatan haram itu.

“Kami melakukan pemeriksaa­n yang lebih ketat terhadap kontena yang masuk ke dalam negara, terutama di Pelabuhan Klang.

“Kastam juga menyertai pasukan khas yang diwujudkan oleh kerajaan dan memandang serius kegiatan membawa masuk sisa plastik ke dalam negara,” katanya.

Isu sisa plastik mendapat perhatian apabila media melaporkan

beratus-ratus kontena di Pelabuhan Klang yang diperiksa dalam 10 operasi pihak berkuasa mengandung­i sampah haram yang dibawa masuk ke dalam negara.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, pada 28 Mei lepas dilapor berkata, sejumlah 60 kontena sisa plastik yang dibawa masuk ke negara ini secara haram akan dihantar semula ke negara asal.

Beliau berkata, 10 daripada 60 kontena dengan berat keseluruha­n 450 tan, adalah sisa plastik dari pelbagai negara seperti China, Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Kanada, Arab Saudi dan United Kingdom.

Malaysia adalah antara negara yang mengimport sisa plastik yang boleh dikitar semula dan setakat ini sejumlah 62 syarikat mempunyai Permit Import (AP) sisa plastik dikeluarka­n Jabatan Pengurusan Sisa dan Pepejal Negara (JPSPN) bagi membawa masuk dan memproses skrap plastik di negara ini.

Bagaimanap­un, syarat ketat dikenakan untuk membawa masuk dan memproses sisa plastik itu, antaranya kebenaran import hanya diberi kepada pengimport yang mempunyai premis dan menjalanka­n aktiviti memproses/mengitar semula sisa plastik import.

Kilang beroperasi secara haram

Sementara itu, Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahka­n menerima laporan berhubung pembukaan kilang kitar semula sisa plastik yang dilapor beroperasi tanpa lesen di Jenjarom, Kuala Langat, dekat sini.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, berkata laporan berhubung perkara berkenaan diterima tahun lalu.

“Hasil siasatan dan kajian SPRM mendapati pembukaan kilang berkenaan yang dilapor beroperasi secara haram itu tidak mempunyai sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan rasuah.

“Ya, SPRM ada menerima laporan berhubung perkara itu, tetapi siasatan kes ini seharusnya diserah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini SPRM tidak menerima sebarang laporan baharu (tahun ini) berhubung perkara itu daripada mana-mana pihak.

Media, pada 3 Jun lalu melaporkan 10 daripada 41 kilang haram yang memproses sisa plastik di Selangor sudah tutup dan bakinya dijangka ditutup selewat-lewatnya Julai ini.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim, berkata pihaknya menahan seorang lelaki yang disyaki menerima rasuah berhubung pembukaan kilang kitar semula sisa plastik tahun lalu dan lelaki itu sudah dibebaskan.

“Kes ini (pembukaan kilang haram) masih dalam siasatan kami sehingga kini,” katanya.

Kastam juga menyertai pasukan khas yang diwujudkan oleh kerajaan dan memandang serius kegiatan membawa masuk sisa plastik ke dalam negara” Paddy Abdul Halim, Ketua Pengarah Kastam

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia