Berita Harian

Penduduk minta bekalan air bersih, mahu lombong ditutup

-

Gua Musang: Orang Asli suku Batek di Kuala Koh terpaksa menggunaka­n air sungai untuk kegunaan harian termasuk minuman dan memasak walaupun tahu ia tercemar.

Penduduk kampung itu, Zeli Shahir Khan, 26, berkata bukan saja sumber air dari anak Sungai Lebir yang berdekatan dengan perkampung­an mereka itu kotor, malahan air tadahan dari bukit yang digunakan juga turut tercemar.

Dia mendakwa keadaan itu menyebabka­n adiknya, Bella, 16, meninggal dunia dipercayai jangkitan kuman pada paru-paru tiga minggu lalu, dan nasib sama menimpa kakaknya, Shela, 29, dua hari kemudian.

“Mereka pada mulanya mengalami deman panas menyebabka­n suhu badan naik mendadak, terutama bahagian kepala sehingga mata kemarahan, selain muntah, pening, sakit tekak serta jantung lemah.

“Biasanya mereka akan sembuh apabila guna bomoh, tapi pada kali ini sebaliknya berlaku sehinggala­h bekas Tok Batin, Hamdan Keladi dan anaknya berusia 25 tahun meninggal dunia secara tiba-tiba akibat sakit yang sama pada awal bulan lalu,” katanya di sini, semalam.

Dia yang sudah menetap di kampung itu sejak lapan tahun lalu, berkata air sungai dan bukit mula kotor selepas aktiviti perlombong­an bijih mangan atau keluli sejak 2016.

Keadaan makin teruk

“Sebaik kejadian ini semakin teruk, kami mula berpindah ke kawasan hutan supaya tidak merebak. Namun, keadaan sama juga kerana dipercayai kuman sudah merebak ke dalam paru-paru menyebabka­n adik dan kakak saya pula jadi mangsa,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Osman Halim, 28, pula berkata sejak menetap 10 tahun lalu, keadaan kali ini lebih teruk berlaku apabila banyak kematian dalam masa terdekat.

“Kami percaya semua ini disebabkan air sungai yang kotor. Lombong bijih mangan ada di atas bukit dan apabila hujan mesti mengalir masuk ke sungai,” katanya.

Adidas Om, 32, pula berkata ketika mula diserang penyakit itu empat hari lalu, dua anaknya tidak dapat tidur sebelum mengalami sesak nafas sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Adidas berkata, dua anak perempuann­ya, Hoi, 6, dan Boi, 5, masing-masing dirawat di HGM serta HKK selepas keadaan mereka agak kritikal.

“Saya bersyukur kerana anak sempat dihantar ke hospital dan semakin pulih,” katanya.

“Saya dan penduduk (Kuala Koh) berharap pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya dengan membekalka­n air bersih kepada kami.

“Kami juga mahu lombong bijih mangan yang berdekatan kampung ditutup kerana tidak mahu masyarakat kami terus menjadi mangsa pelbagai jenis penyakit,” katanya yang percaya penyakit itu berpunca daripada pencemaran air akibat perlombong­an bijih mangan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia