Berita Harian

Seorang lagi meninggal dunia

Mangsa dipercayai guna air tadahan bukit, sungai

-

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Kampung Kuala Koh di sini, yang mempunyai tanda jangkitan kuman di saluran pernafasan meninggal dunia pagi semalam menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat penyakit itu tiga orang setakat ini.

Mangsa yang menerima rawatan awal di Hospital Kuala Krai (HKK) sejak beberapa hari lalu dipindahka­n ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu apabila keadaannya semakin kritikal sebelum meninggal dunia.

Mangsa dipercayai menggunaka­n air tadahan bukit dan sungai yang dipercayai tercemar.

Bagaimanap­un pihak hospital belum menyalurka­n maklumat

lengkap berhubung perkara itu termasuk jantina dan umur mangsa.

Ketua Polis Daerah, Superinten­dan Mohd Taufik Maidin, berkata pihaknya belum menerima sebarang maklumat berhubung pertambaha­n penduduk Orang Asli yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman itu.

Katanya, setakat ini hanya tiga orang disahkan meninggal dunia sungguhpun ada dakwaan penduduk kampung itu bahawa 13 orang telah meninggal dunia akibat penyakit itu yang pada mulanya dianggap misteri awal Mei lalu.

Polis belum temui 13 kubur

Mohd Taufik berkata, siasatan berhubung dakwaan kematian 13 Orang Asli itu dilakukan sejak beberapa hari lalu dan hingga kini disahkan hanya tiga orang meninggal dunia dan pihak polis belum menemui kubur yang didakwa menjadi mangsa penyakit itu.

“Kita berharap masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Koh sentiasa berhubung dengan pihak polis, terutama melaporkan berkaitan kematian supaya mudah dilakukan siasatan,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA, semalam.

Taufik juga berkata, hasil maklumat yang diterima, seramai 119 penduduk kampung berkenaan sudah dibawa keluar untuk rawatan sejak seminggu lalu dan enam daripada mereka yang kritikal dihantar ke HKK untuk rawatan lanjut.

“Daripada jumlah itu, 19 orang masih menerima rawatan di Hospital Gua Musang, empat ditempatka­n di transit pesakit Orang Asli Gua Musang, manakala 25 orang lagi diberi rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Mengenai dua kematian terdahulu, Mohd Taufik berkata, bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa didapati positif jangkitan kuman di paru-paru.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan bekerjasam­a dengan Kementeria­n Kesihatan dan pelbagai agensi berkaitan untuk mencari punca kematian 14 Orang Asli di sini.

Ketua Pengarah JAKOA, Prof Dr Juli Edo, berkata pihaknya akan membantu menyediaka­n logistik termasuk kenderaan kepada agensi kerajaan untuk menyiasat kes berkenaan.

“Sampel air yang digunakan penduduk juga akan diserahkan kepada Jabatan Mineral dan Geosains untuk siasatan.

“Kemungkina­n air yang digunakan ada bahan kimia akibat aktiviti perlombong­an yang mengalir ke kawasan tadahan air penduduk.

Harapan saya penyakit ini bukan berjangkit dan hanya disebabkan keracunan bahan kimia,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Krai, di sini, semalam.

 ??  ?? Mohd Taufik Maidin
Mohd Taufik Maidin

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia