Berita Harian

‘Siasat aktiviti pembalakan, perlombong­an’

Kegiatan langgar prosedur alam sekitar bakal kena tindakan: TPM

- Oleh Haika Khazi dan Siti Nor Hidayatida­yu Razali

Kematian 14 Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, yang didakwa berpunca daripada pencemaran kolam sumber air masyarakat itu akan disiasat dengan teliti, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak berkuasa akan melihat kegiatan perlombong­an dan pembalakan di sekitar kawasan berkenaan untuk memastikan segala prosedur berkaitan alam sekitar dipatuhi.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit jika mendapati kematian disebabkan oleh pencemaran sumber air Orang Asli,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengkaji dasar alam sekitar berhubung aktiviti pembalakan dan perlombong­an, terutama berkaitan masalah yang dihadapi masyarakat Orang Asli.

“Penguatkua­saan lebih ketat dan dasar pencegahan adalah beberapa langkah yang akan diambil perhatian,” katanya.

Dr Wan Azizah turut melahirkan rasa sedih dengan kes menimpa masyarakat Orang Asli suku Batek itu.

“Saya akan sentiasa mendoakan

keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang sedang menjalani rawatan,” katanya.

Semalam, media melaporkan pencemaran air bukit dan anak sungai Lebir dekat Kampung Kuala Koh, dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombong­an bijih mangan sehingga menyebabka­n kematian 14 penduduk Orang Asli suku Batek.

Di Kota Bharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy, berkata dua daripada 14 kes kematian Orang Asli suku Batek disahkan berpunca daripada radang paru-paru.

Katanya, bedah siasat ke atas kedua-dua mayat mangsa mendapati punca kematian adalah radang paru-paru, namun punca sebenar penyakit itu yang dikesan setakat ini belum diketahui.

“Penempatan yang jauh selain tiada komunikasi dengan pihak penghulu dan polis kerana jarak perjalanan yang jauh menyebabka­n maklumat kematian lambat diterima.

Punca kematian masih disiasat

“Namun, punca kematian sebenar akan disiasat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat di Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Kelantan di sini, semalam.

Beliau berkata, sebanyak 12 kematian dilaporkan berlaku di Taman Negara dekat sempadan Kelantan-pahang iaitu ketika mereka dalam perjalanan dari Pahang ke Kelantan.

Katanya, jumlah yang dirawat pula adalah seramai 83 orang iaitu 37 orang diberikan rawatan pesakit luar, 32 orang pesakit dirawat di Hospital Gua Musang, Hospital Kuala Krai (10), seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan tiga orang di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA).

Waytha Moorthy berkata, Jabatan Kesihatan juga sudah mengambil langkah pencegahan dengan membuat carian kes secara aktif, pengasinga­n selain melakukan rawatan di hospital kepada yang terjejas.

“Daripada jumlah 83 yang dikesan, ada dua kes yang tenat iaitu membabitka­n seorang wanita berusia 36 tahun di HKK dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di HRPZII, manakala yang lain dilaporkan menunjukka­n tanda semakin pulih,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan juga sudah menghantar pegawai perubatan ke kawasan berkenaan, selain menubuhkan satu pasukan bertindak antara agensi di Gua Musang untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Waytha Moorthy turut melawat mangsa yang dirawat di HKK, dengan diiringi Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof Dr Juli Edo.

 ?? [FOTO SITI NORHIDAYAT­IDAYU RAZALI /BH] ??
[FOTO SITI NORHIDAYAT­IDAYU RAZALI /BH]
 ??  ?? Waytha melawat pesakit Orang Asli, Lan Jamil, yang diriba ibunya, Ani Ripin di Hospital Kuala Krai, semalam.
Waytha melawat pesakit Orang Asli, Lan Jamil, yang diriba ibunya, Ani Ripin di Hospital Kuala Krai, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia