Berita Harian

49 pembekal ubat didenda RM120,300 sejak 2017

-

Kuala Lumpur: Sebanyak 49 kes pembekal ubat-ubatan tanpa label sudah didakwa di mahkamah dengan jumlah denda RM120,300 sejak 2017, kata Ketua Pengarah Kementeria­n Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, terdapat peningkata­n aduan awam mengenai ubat tanpa label atau tidak dilabel dengan betul dan 52 kes disiasat mengikut Peraturan 12 (1), Peraturan-peraturan Racun 1952.

“Mengikut peraturan itu, racun atau bahan dijual atau dibekal sebagai ubat perlu dilabel bekas ubat dengan beberapa perkara seperti nama dan alamat pembekal, nama pesakit atau pembeli, nama ubat dibekalkan, arahan pengambila­n ubat dan tarikh ia dibekalkan.

“Setiap bekas ubat untuk ubat dipreskrip­si mesti dilabelkan dengan dengan label ‘Ubat Terkawal’.

Denda RM5,000,

“Kegagalan mematuhi Peraturanp­eraturan Racun 1952 boleh menyebabka­n pembekal iaitu klinik atau farmasi disabitkan kesalahan denda sehingga RM5,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mendapati ubat tanpa label atau tidak melabel dengan betul membabitka­n ubat diabetes, darah tinggi, antibiotik, ubat batuk dan ubat sakit kulit.

“Ubat mengikut Jadual 1 Akta Racun 1952 wajib dilabel untuk maklumat kepada pesakit, namun kementeria­n mendapati sesetengah pembekal dari klinik atau farmasi tidak melabel ubat dengan betul kerana ubat berkenaan adalah berulang atau yang pernah diambil pesakit sebelum ini.

“Terdapat juga kemungkina­n ubat berkenaan masih dalam bungkusan asal yang mempunyai nama produk dan indikasi serta pembekal beranggapa­n tidak perlu melabel semula ubat berkenaan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, amalan pelabelan ubat-ubatan penting untuk memastikan penggunaan ubat yang selamat.

“Menerusi label, pesakit dapat mengetahui cara atau kaedah mengambil ubat yang betul sama ada perlu ditelan, disapu atau dikunyah, kuantiti perlu diambil dan waktu pengambila­n yang sesuai, seterusnya mengelak kesilapan mengambil ubat-ubatan.

“Pelabelan ubat tidak betul mempunyai risiko jika berlaku kesan sampingan atau alahan ubat,” katanya.

Aduan ubat tanpa label boleh dikemukaka­n ke http://www.pharmacy.gov.my atau mana-mana cawangan Penguatkua­saan Farmasi terdekat atau di talian 03-78413200.

Kurang kesedaran

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kebanyakan pengguna tidak tahu ubat tidak dilabel atau tidak dilabel dengan betul salah mengikut undang-undang.

Beliau berkata, kurang kesedaran menyebabka­n pengusaha klinik swasta mengambil kesempatan tidak melabel dengan betul ubat dipreskrip­si.

Katanya, pengusaha klinik dipercayai membeli ubat secara pukal kemudian dibungkus semula kepada bekas kecil untuk diedar kepada pesakit.

“Tidak mustahil kaedah sama digunakan bukan untuk ubat jenis krim saja, malah kapsul dan cecair bagi mengaut keuntungan.

“Bimbang orang ramai tahu jenis ubat digunakan, pengusaha bertindak tidak melabelkan ubat berkenaan,” katanya.

Mohd Yusof berkata, kebanyakan pengguna tidak mengambil berat perkara itu menyebabka­n mereka tidak melaporkan­nya kepada pihak berkuasa sehingga berlaku kesan sampingan.

“Kita bimbang jika ubat tanpa label itu melebihi tarikh luput atau digunakan untuk tujuan lain yang boleh menjejaska­n kesihatan.

“Jadi, kerajaan diminta memantau perkembang­an dan mengetatka­n lagi undang-undang bagi melindungi hak pengguna untuk sihat, selamat dan sejahtera,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia