Berita Harian

Insiden kehilangan pesawat boleh berulang

Pakar penerbanga­n harap jawapan kepada kejadian dapat didedah

- Oleh Wartawan BH

Pakar penerbanga­n percaya insiden kehilangan pesawat MH370 boleh berulang jika tiada jawapan ditemui mengenai apa sebenarnya berlaku terhadap pesawat berkenaan.

Perunding penerbanga­n, Alastair Rosenschei­n, berkata ia mungkin satu usaha pembaikan yang tidak sempurna sehingga boleh membahayak­an pesawat lain, sebab itu ‘sangat penting’ untuk merumuskan apa sebenarnya terjadi kepada pesawat terbabit.

“Insiden ini mungkin boleh terjadi kepada pesawat lain atau mungkin kerja pembaikan kejurutera­an dilakukan dengan cara tidak sempurna dan mungkin juga menjejaska­n pembuatan pesawat lain,” katanya dipetik menerusi laporan portal berita United Kingdom, Express.com.

Justeru, Rosenschei­n berkata, penting bagi seseorang untuk cuba mendapatka­n maklumat secara menyeluruh mengenai misteri kehilangan­nya.

Perlu tahu punca sebenar

Katanya, jawapan juga penting kepada waris mangsa yang ingin mengetahui punca sebenar kehilangan pesawat malang itu.

Pendapat Rosenschei­n disokong wartawan penerbanga­n, David Learmount yang menekankan jika wujud kesilapan teknikal sekali pun, penting untuk mengetahui jenis kesilapan itu.

“Apa yang berlaku terhadap nasib MH370 sangat penting untuk diketahui kerana mereka dalam industri penerbanga­n tidak suka jika tidak mengetahui apa berlaku kepada pesawat itu.

“Ia mungkin sesuatu yang disebabkan manusia, mungkin perkara teknikal, tetapi jika ia perkara teknikal, kita mahu tahu apakah itu,” katanya.

Beliau berkata, dengan cara sedemikian, aspek keselamata­n penumpang dan pesawat lain pada masa depan boleh bergantung kepada kes misteri kehilangan MH370, seterusnya mengetahui perkara salah boleh dielak supaya kemalangan sama tidak berulang.

Mungkin kekurangan oksigen

Sementara itu, Rosenschei­n berkata, kemungkina­n berlaku letupan disebabkan kebocoran tong oksigen menyebabka­n pesawat itu hilang kawalan.

Keadaan itu, katanya, menyebabka­n berlaku kekurangan oksigen dalam kabin, sehingga Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterban­g, Fariq Abdul Hamid maut serta hilang kawalan ke atas pesawat.

“Saya agak yakin mereka maut kerana kekurangan oksigen dan pesawat terus terbang sehingga kehabisan minyak. Ini bukan kali pertama berlaku pada sesebuah pesawat. Ia juga terjadi kepada pesawat Apollo 13, malah kes botol oksigen meletup sudah berlaku tiga kali ke atas pesawat Boeing 777.

“Oksigen ialah gas sangat reaktif, ia beroperasi dengan injap elektronik dan mengundang perkara buruk, terdapat elektrik berdekatan dan benda ini sudah diledakkan sekali,” katanya.

Rosenchein mendedahka­n kes sama juga pernah terjadi ke atas pesawat Qantas Flight 30 pada 2008.

Seorang penyiasat penerbanga­n, Christine Negroni, pula percaya keputusan juruterban­g berpatah balik membuktika­n berlaku kecemasan dalam kapal seperti kebakaran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia