Berita Harian

Polis belum hubungi Takiyuddin

-

Kuantan: “Saya ada urusan di sini hari ini (semalam) dan esok (hari ini), mereka (polis) juga tidak ada menghubung­i saya, jadi saya tidak akan balik (untuk memberikan keterangan),” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai arahan dikeluarka­n Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan, pada 23 Mei lalu, yang memintanya hadir pada jam 10 pagi esok untuk diambil keterangan.

Takiyuddin, dalam ceramahnya ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan awal bulan lalu, antara lain mempersoal­kan sama ada Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, layak menjadi Perdana Menteri berikutan statusnya sebagai ‘bekas banduan’.

Susulan itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan membuat laporan polis pada 13 Mei lalu dan meminta siasatan dijalankan terhadap Takiyuddin kerana didakwa seolah-olah mempertika­ikan pengampuna­n diraja diberikan Yang di-pertuan Agong kepada Anwar.

“Memang ada terima (faks) yang dihantar ke pejabat saya di Kota Bharu... tapi mereka (polis) tidak berhubung dengan saya mengenai perkara itu (tarikh rakam keterangan),” katanya kepada pemberita selepas sidang media Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di sini, semalam.

Pada 29 Mei lalu, beliau mengesahka­n diminta memberi keterangan dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengeluark­an kenyataan yang berbaur provokasi dan boleh menimbulka­n ketidakten­teraman awam.

Bagaimanap­un, beliau memaklumka­n belum membuat keputusan sama ada akan hadir atau tidak bagi memberi keterangan pada hari berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia