Berita Harian

Sabah teliti semula MOU biak badak Sumatera

-

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan meneliti semula 13 memorandum perjanjian (MOU) mengenai usaha pembiakan badak sumbu Sumatera yang belum dilaksanak­an di antara negeri ini dan Indonesia.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, berkata dokumen itu sudah ditandatan­gani wakil dari negeri ini tetapi belum ditandatan­gani Indonesia sepanjang tempoh rundingan selama sedekad yang lalu.

Bersikap terbuka

“Tumpuan kita kali ini adalah meminda apa yang perlu dalam MOU sebelum ini. Kita bersikap terbuka terhadap syarat yang ditetapkan kerana objektif kita adalah untuk mencapai persetujua­n berkaitan membantu pembiakan badak.

“Kerajaan negeri juga tidak kisah jika Indonesia menyimpan anak badak pertama yang dilahirkan jika perjanjian mengenai program pembiakan badak dipersetuj­ui melalui rundingan semula yang kita mahu laksanakan,” katanya, di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri dan Jemaah Menteri Kerajaan Negeri di pekarangan Menara Tun Mustapha, Teluk Likas, di sini.

Yang turut hadir, Yang di-pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni serta Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Christina berkata, rundingan semula itu adalah berkaitan usaha membiakkan benih badak sumbu Sumatera betina terakhir di Malaysia dikenali sebagai Iman, dengan benih badak jantan di Indonesia.

Temui Konsul Jeneral Indonesia minggu depan

Katanya, satu pertemuan dengan Konsul Jeneral Indonesia di sini akan diadakan minggu depan bagi membincang­kan proses memudah cara rundingan dengan pihak berkuasa negara itu berhubung pemelihara­an badak sumbu Sumatera di negeri ini.

“Dalam pertemuan itu, pihak Indonesia di sini akan membantu mengatur lawatan kita ke Indonesia untuk membincang­kan program pembiakan badak, khususnya untuk badak terakhir kita, Iman, yang kini sedang sakit,” katanya.

Pada 27 Mei lalu, badak Sumatera jantan terakhir di negara ini yang dikenali sebagai Tam, mati akibat usia tua dan kegagalan organ dalaman, sekali gus meninggalk­an hanya Iman satu-satunya badak sumbu Sumatera yang masih hidup di negara ini.

Sementara itu, Christina berkata bangkai Tam akan dibersihka­n sebelum disusun semula dan diawet mengikut saiz asalnya, untuk ditempatka­n di Muzium Negeri, di sini sebagai tarikan pelanconga­n.

Katanya, ia juga bagi membolehka­n orang ramai melihat secara dekat saiz sebenar hidupan liar itu.

 ??  ?? Christina Liew
Christina Liew

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia