Berita Harian

Penulis muda bolot kategori bukan cereka

-

Kuala Lumpur: Kategori bukan cereka Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH 2019 tidak ketinggala­n memberikan kejutan tersendiri apabila menobatkan karya penulis muda, Nurul Ezzati Abdul Wahab sebagai pemenang pertama.

Beliau antara lain ‘menyingkir­kan’ nama penulis berpengaru­h termasuk dalam kalangan selebriti pendakwah tersohor yang sebelum ini kerap meraih tempat pertama.

Nurul Ezati atau nama penanya The Bingkisan Hati menang besar apabila meraih tempat pertama menerusi Allah Kan Ada dan tempat ketiga melalui karyanya Cukuplah Allah Bagiku.

Beliau berkata, kemenangan dua karya motivasi agama itu luar daripada jangkaan kerana ia juga adalah pencalonan buat kali pertamanya dalam anugerah berprestij itu.

Karya dekat dengan jiwa

Penulis berusia 26 tahun itu berkata, beliau meminati penulisan berunsur motivasi keagamaan kerana dekat dengan jiwa dan berharap ilmu dalam karyanya adalah perkara sama diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Saya mula menulis sejak 2006 dan naskhah Allah Kan Ada dan Cukuplah Allah Bagiku adalah karya ketiga serta keempat saya.

“Saya sendiri terkejut dan tidak menyangka penyertaan kali pertama dalam Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH 2019 membuahkan hasil.

Ulang cetak tiga kali

“Kedua-dua naskhah ini sudah pun diulang cetak masing-masing sebanyak tiga dan lima kali. Malah, saya juga berbangga kerana karya agama mengunggul­i pertanding­an Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH kali ini,” katanya.

Nurul Ezzati berkata, ia membuktika­n karya agama masih diminati masyarakat dan mempunyai kumpulan pengikut tersendiri.

“Saya percaya pembaca menjadikan naskhah agama sebagai panduan atau rujukan ilmu. Sebagai penulis, saya berbangga kerana dapat menyumbang manfaat kepada umat Islam, selain memberi kepuasan terhadap diri sendiri,” katanya.

Berkongsi perancanga­n masa hadapan, pelajar jurusan Sains Kesetiausa­haan di Politeknik Port Dickson itu berkata, beliau sedang menyiapkan manuskrip untuk menghasil komik keagamaan yang dijangka diterbitka­n tidak lama lagi.

Sebagai penulis, saya berbangga kerana dapat menyumbang manfaat kepada umat Islam, selain memberi kepuasan terhadap diri sendiri” Nurul Ezzati Abdul Wahab, Penulis Allah Kan Ada dan Cukuplah Allah Bagiku

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia