Berita Harian

Tidak timbul isu lepas jawatan TPM: Dr Wan Azizah

-

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tidak timbul isu untuk beliau melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana dalam perjanjian sebelum ini dipersetuj­ui beliau akan menjadi timbalan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, dalam perjanjian itu juga dipersetuj­ui beliau kekal Timbalan Perdana Menteri walaupun Anwar dilantik Presiden PKR.

“Saya sudah katakan akan meletak jawatan apabila Anwar menjadi Perdana Menteri, jadi tiada isu dalam perkara ini,” katanya selepas merasmikan Persidanga­n Pertahanan Siber, di sini, semalam.

Desakan lepas jawatan

Beliau berkata demikian ditanya mengenai desakan beberapa pihak supaya beliau melepaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi menyelesai­kan isu berkaitan jawatan dan kedudukan dalam PKR.

Antara yang lantang membuat gesaan itu bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin, yang lebih dikenali sebagai Chegubard.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli yang juga bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor mencadangk­an Dr Wan Azizah menyerahka­n jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada suaminya.

Saya sudah katakan akan meletak jawatan apabila Anwar menjadi Perdana Menteri, jadi tiada isu dalam perkara ini” Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia