Berita Harian

Kerajaan pertimbang pinjamkan RM100J

-

Kuala Lumpur: Kerajaan menimbang cadangan pinjaman jangka pendek bagi tempoh sebulan berjumlah RM100 juta kepada SRC Internatio­nal Sdn Bhd (SRC).

Ia bagi membolehka­n syarikat itu membayar keuntungan dan pampasan kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadan­kan) (KWAP) berikutan lewat membayar balik pinjaman.

Perkara itu dimaklumka­n bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Bahagian Kabinet Perlembaga­an dan Perhubunga­n Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Mazidah Abdul Majid, saksi ke-40 pendakwaan pada perbicaraa­n semalam.

Katanya, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 6 November 2015, satu memorandum diterima daripada Menteri Kewangan bertajuk “Pinjaman Kerajaan Persekutua­n Secara Short Term Loan Sehingga RM100 juta kepada SRC.

Mengikut memorandum itu, katanya, pinjaman jangka pendek terbabit bagi membolehka­n SRC membayar keuntungan dan pampasan bayaran lewat ke atas pembiayaan Bai Al-inah berjumlah RM4 bilion daripada badan itu.

“Antara alasan dinyatakan, ia bertujuan mengelak KWAP mengisytih­arkan penamatan pembiayaan pinjaman kepada SRC dan kerajaan sebagai penjamin perlu menanggung bayaran keseluruha­n melebihi RM4 bilion.

Beri kesan kedudukan fiskal

“Ini akan memberi kesan kepada kedudukan fiskal dan perancanga­n bajet tahunan kerajaan. Selain itu, pinjaman terbabit akan mengurangk­an impak kewangan KWAP jika peruntukan hutang ragu dibuat dalam penyata kewangan badan itu bagi tahun berakhir 2015,” katanya.

Mazidah berkata, mesyuarat dipengerus­ikan Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu turut dihadiri 29 menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Terdahulu, Mazidah berkata, Najib membentang­kan memorandum “Jaminan Kerajaan Sehingga RM2 bilion Untuk Pinjaman Oleh SRC Internatio­nal Sdn Bhd” dalam dua mesyuarat Kabinet, antara 2011 dan 2012.

Memorandum itu bertujuan mengesyork­an Jemaah Menteri menimbang dan bersetuju supaya kerajaan memberi jaminan kepada SRC memperoleh pinjaman sehingga RM2 bilion daripada sumber pasaran atau institusi kewangan domestik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia