Berita Harian

‘Mereka dipukul, diberi minum air kencing’

4 bekas pekerja buat laporan polis selepas aduan tak diendah

- Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Dipukul, ditendang, diikat, selain diberi minum air kencing dan makan cili. Itu kesengsara­an yang didakwa dialami penghuni sebuah pusat jagaan warga emas di Taman Seremban 3 di sini.

Pendedahan itu dibuat empat bekas pekerja pusat jagaan berkenaan, yang mendakwa terpaksa membuat laporan polis selepas aduan mereka kepada pengusaha pusat jagaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak diendahkan.

Seorang bekas pekerja yang mahu dikenali Dila, 24, berkata semua perbuatan kejam itu dilakukan seorang penyelia wanita berusia 20-an apabila majikan tiada di premis.

Beliau yang bekerja di pusat jagaan itu selama lapan bulan, mengambil keputusan berhenti pada November tahun lalu selepas tidak tahan melihat perbuatan kejam penyelia terbabit.

“Apa yang viral di FB itu betul. Saya sendiri pernah lihat warga emas disepak dan diberi makan cili, malah ada juga pekerja yang turut dipukul serta disepak kerana tidak mahu menurut arahannya.

“Saya juga pernah ceritakan perkara itu kepada waris yang datang menziarahi orang tua mereka, tetapi ada yang percaya dan tidak kerana saya tiada bukti. Premis itu tiada CCTV (rakaman kamera litar tertutup),” katanya pada sidang media di sebuah restoran di sini, semalam.

Seorang lagi bekas pekerja, Ain, 24, mendakwa pernah dipukul penyelia terbabit, tetapi tidak pernah membuat laporan polis kerana takut, selain pernah melihat penghuni warga emas disepak dan kakinya dipijak sebelum diberi minum air kencing.

Fikri, 24, juga pernah bekerja di pusat jagaan itu, mendakwa terkejut apabila melihat warga emas dipukul dengan penyapu dan ditampar menggunaka­n selipar oleh penyelia pusat jagaan itu.

Bagaimanap­un, pengusaha Pusat Jagaan Warga Emas dan Terapi Fitrah, Azrin Shala, menafikan tuduhan dia mendera warga emas yang dijaganya, seperti yang tersebar di media sosial, sejak kelmarin.

Beliau menyuaraka­n rasa terkilan dan kecewa apabila ada pihak dipercayai sengaja menabur fitnah kononnya 12 warga emas berusia 65 tahun ke atas yang ditempatka­n di pusat jagaannya didera, selain dakwaan sekurang-kurangnya 10 orang mati akibat perbuatan kejam itu.

Tuduhan tak betul

“Video dan gambar yang viral itu memang di pusat jagaan saya, tetapi tuduhan itu tidak betul. Saya tidak pernah mendera mereka (warga emas), malah pekerja saya juga buat kerja mengikut prosedur.

“Malah, video yang itu menunjukka­n pekerja saya hanya bergurau dengan mereka dan gambar yang viral itu pun dari dalam bilik persalinan yang disediakan khas untuk memakaikan lampin pakai buang kepada warga emas di sini,” katanya kepada media di pusat jagaan itu.

Terdahulu, pegawai dan anggota polis serta pegawai JKM dilihat memasuki premis berkenaan jam 11 pagi semalam, dipercayai bagi menyiasat kes itu.

Azrin berkata, kebanyakan warga emas yang berada di pusat jagaannya mempunyai masalah kesihatan dan dihantar oleh waris untuk penjagaan rapi dengan bayaran antara RM1,300 sehingga RM1,600 sebulan bergantung kepada tahap kesihatan.

Beliau juga mempunyai lesen dan berdaftar dengan JKM serta dibantu tiga pekerja yang menguruska­n warga emas setiap hari.

Berikutan penularan itu, Azrin dan kakitangan­nya membuat laporan polis malam kelmarin untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankua­sa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon, berkata JKM sedang menjalanka­n siasatan lanjut terhadap dakwaan itu termasuk siasatan dalaman berhubung dakwaan terhadap kakitangan JKM sendiri.

 ?? [FOTO NORAINA RAJA RAHIM/BH] ?? Empat bekas pekerja Pusat Jagaan Warga Emas Dan Terapi Fitrah pada sidang media di Seremban, semalam.
[FOTO NORAINA RAJA RAHIM/BH] Empat bekas pekerja Pusat Jagaan Warga Emas Dan Terapi Fitrah pada sidang media di Seremban, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia