Berita Harian

500 rumah untuk warga FELDA

Peruntukan pertama kali Kerajaan Selangor bantu miliki rumah

- Oleh Rafidah Mat Ruzki

Sebanyak 500 unit rumah akan ditawarkan kepada peneroka dan generasi baharu FELDA di Selangor.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata projek itu adalah usaha sama antara pemaju Encorp Berhad dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui projek pangsapuri Idaman Cahaya di bandar raya ini.

Katanya, peruntukan itu pertama kali dilakukan kerajaan negeri iaitu sebahagian daripada

dasar kerajaan Selangor membantu golongan berkenaan untuk memiliki kediaman sendiri pada harga jualan bersih RM250,000 setiap unit.

Katanya, perkara itu dapat direalisas­ikan berikutan FELDA mempunyai 70 peratus kepentinga­n dalam Encorp Berhad.

“Projek pangsapuri ‘Idaman Cahaya’ kerana kerjasama PKNS dengan (anak syarikat) Encorp, (Must Ehsan Developmen­t Sdn Bhd) yang sebahagian­nya ada kepentinga­n FELDA, kita akan siapkan 500 unit yang khas untuk dimiliki oleh peneroka FELDA dan anak peneroka.

“Sebanyak 100 unit lagi untuk Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS) untuk program ‘Smart Sewa’ dan Dana-sel yang berada bawah Pentadbira­n Kerajaan Selangor,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatan­gani perjanjian hak pembanguna­n antara Konsortium PCSB-MGB dengan Must Ehsan Developmen­t Sdn Bhd di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Yang turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin.

Perjanjian hak pembanguna­n itu ditandatan­gani oleh Pengerusi Must Ehsan Developmen­t Sdn Bhd, Datuk Jaafar Abu Bakar dengan Konsortium PCSB-MGB (terdiri daripada PNSB Constructi­on Sdn Bhd dan MGB Berhad) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Datuk Seri Ahmad Omar.

Siap 2024

Amirudin berkata, Kerajaan Selangor bersedia untuk bekerjasam­a dengan mana-mana anak syarikat FELDA pada masa depan bagi membina lagi kediaman untuk ditawarkan kepada peneroka dan generasi muda peneroka FELDA.

Pada masa sama, Amirudin berkata, pengenalan projek rumah pangsapuri mampu milik ‘Idaman Cahaya’ menawarkan unit kediaman berkeluasa­n 92 meter persegi (1,001 kaki persegi) mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik mandi, balkoni, ruang halaman dapur serta dua lot tempat letak kereta.

Keseluruha­n projek mempunyai sebanyak 1,800 unit rumah dijangka dibina mulai awal tahun depan dengan fasa pertama dijangka siap pada 2024.

Beliau berkata, ia dikategori­kan sebagai ‘rumah idaman’ kerana setiap unit kediaman akan dilengkapi pendingin hawa, almari pakaian, kabinet dapur, kabinet televisyen berserta televisyen, peti sejuk dan pemanas air mandi.

Katanya, kerajaan negeri menyasarka­n antara 5,000 hingga 6,000 unit dibina tahun ini namun ia bukan bermakna akan berlaku pertukaran dasar perumahan di Selangor dengan hanya membina kediaman berharga RM250,000, sebaliknya kebanyakan rumah berkenaan adalah langkah penyelesai­an kepada beberapa isu tertangguh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia