Berita Harian

Kelantan kempunan raih mata penuh di laman sendiri

-

Kota Bharu: Pasukan Kelantan sekadar mampu berpuas hati meraih satu mata selepas terikat 1-1 dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, semalam.

Skuad kendalian Ervin Boban mendahului tuan rumah pada awal minit kelima menerusi sepakan penalti Mohamad Ghaddar selepas Ramadhan Saifullah dikasari pemain pertahanan tuan rumah dalam kawasan penalti.

Selang tiga minit, skuad The Red Warriors (TRW) memiliki satu peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan Imran Samso namun cubaannya tersasar.

Pada minit ke-31 penyerang import TRW, Seydi L’imam hampir mencetak gol penyamaan menerusi tandukan deras namun sempat ditepis keluar, Muhammad Haziq Nadzli.

TRW terlepas dua lagi peluang terhidang merapatkan jurang gol menerusi sepakan deras Shahrulniz­am Ros Hasni dan Nik Azli Nik Alias pada minit ke-38 dan ke-39 namun sedikit tersasar.

Pada babak kedua, skuad TRW bermula garang dan berjaya memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-55 menerusi Mohamad Azwan Aripin hasil rembatan deras dari jarak 30 meter, menewaskan Haziq Nadzli. Keputusan kekal sehingga wisel penamat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia