Berita Harian

2 bulan warta notis kepada pihak ketiga

-

Kuala Lumpur: Pendakwa Raya diberi masa dua bulan untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentinga­n terhadap wang dirampas kerajaan daripada tujuh individu, syarikat dan parti politik diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram membabitka­n skandal 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Ia bagi membolehka­n pihak berkepenti­ngan terbabit tampil ke mahkamah sama ada sendiri atau melalui peguam mereka ke mahkamah pada hari yang ditetapkan kemudian bagi memberikan tunjuk sebab mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Harta itu membabitka­n wang lebih RM216 juta yang dirampas Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu berhubung kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Tujuh responden yang dinamakan dalam prosiding melucut hak harta difailkan Pendakwa Raya itu ialah parti politik UMNO; Ahli Parlimen Paya Besar, Allahyarha­m Datuk Seri Abdul Manan Ismail; Wanita MCA, syarikat pengurusan acara Binsabi Sdn Bhd; syarikat pelaburan Perano Sdn Bhd; Badan Perhubunga­n UMNO Sabah dan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek.

Mengikut permohonan melucut hak harta difailkan pada 19 Jun lalu, Pendakwa Raya memohon melucut hak wang berjumlah RM212,965,413.61 disita daripada UMNO; Wanita MCA (RM300,000); Jawatankua­sa Perhubunga­n UMNO Sabah (RM1,254,112.24); Abdul Manan (RM265,146.16); Hasan (RM100,000); Binsabi Sdn Bhd (RM827,250) dan Perano Sdn Bhd (RM337,634.78).

Benarkan permohonan

Pada prosiding semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membenarka­n permohonan Pendakwa Raya yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar untuk mewartakan notis itu mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) AMLATFPUAA.

Susulan itu, Mohamed Zaini memberi tempoh dua bulan iaitu sebelum 25 Ogos ini untuk Pendakwa Raya mewartakan­nya. Mahkamah kemudian menetapkan 29 Julai ini untuk pengurusan kes.

Pada prosiding itu, UMNO diwakili peguam Nurfazreen Hazrina Rahim; Alane Neo (Wanita MCA); Muhammad Hasif Hassan dan Mohd Khalil Tajuddin (Binsabi); Thevini Nayagam (Perono); Hareharenj­it Singh (UMNO Sabah) dan Amin Othman (Hassan Malek). Semua peguam responden tidak membantah permohonan Pendakwa Raya.

Sementara itu, Kamal Baharin memberitah­u mahkamah, pihaknya memerlukan masa dua minggu untuk memfailkan permohonan menukar nama arwah Abdul Manan kepada pemegang amanah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia