Berita Harian

KABINET SETUJU WUJUD STESEN KEKAL PANTAU BAHAN TERCEMAR

Cadangan tangani isu dalam jangka panjang di Pasir Gudang

- Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

Kabinet memutuskan untuk menempatka­n stesen pemantauan bahan cemar udara secara tetap di sini bagi melaksanak­an pemantauan kualiti udara secara berterusan berikutan kawasan ini padat dengan industri.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, berkata disebabkan Pasir Gudang memiliki lebih 2,000 kilang dan 250 premis menggunaka­n bahan kimia, stesen pemantau bahan cemar udara secara tetap akan diwujudkan.

Katanya, isu pencemaran di Pasir Gudang dibincangk­an Kabinet semalam dan penempatan stesen pemantauan secara tetap itu antara cadangan bagi menangani isu terbabit dalam jangka panjang.

“Pasir Gudang adalah tempat industri yang padat. Sebanyak 2,005 kilang di kawasan ini, 250 daripadany­a adalah kilang kimia. Oleh sebab itu, kualiti udara di sini sudah pun tidak berapa baik,” katanya.

Bagaimanap­un, katanya, reka bentuk dan jumlah stesen yang akan ditempatka­n di Pasir Gudang akan diputuskan jawatankua­sa khas nanti.

“Pasir Gudang adalah tempat yang padat, banyak kilang berisiko tinggi. Stesen pemantauan bahan tercemar berterusan dapat kesan pencemaran secepat mungkin dengan lebih proaktif.

“Turut dibincangk­an Kabinet ialah membina zon penampan

kerana kalau kita lihat ada kawasan kilang berbahaya dan sekolah sangat hampir, ini mendatangk­an bahaya,” katanya pada sidang media di Menara Aqabah di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissa­h Munirah Majilis dan Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Terus kenal pasti punca

Sementara itu, Bee Yin berkata, tempoh lama diambil untuk mencari punca pencemaran adalah disebabkan kesukaran menemui kandungan sebatian kimia dalam sampel darah dan air kencing mangsa.

“Kita tidak dapat kesan (punca), berbeza (dengan) kes Sungai Kim Kim di mana kita kesan sianida yang kemudian bersangkut­an dengan sumber di sungai.

“Jabatan Kimia akan terus mengenal pasti punca atau bahan kimia yang mencemari sehingga menyebabka­n gangguan kesihatan,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Mohd Khuzzan berkata, hingga jam 12 tengah hari semalam, tiada pesakit baharu dimasukkan ke wad, menjadikan jumlah yang dirawat kekal enam orang.

“Jawatankua­sa Teknikal dan Saintifik juga mencadangk­an untuk mewujudkan sistem ramalan penyebaran bahan kimia yang mana ia akan menjadi rujukan piawaian bagi setiap bahan cemar yang terdapat di Pasir Gudang adalah dalam keadaan bacaan normal bagi persekitar­an kawasan ini,” katanya.

Katanya, Unit Pengurusan Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih memantau tahap kualiti udara dalam radius pengesanan enam kilometer hingga 15 kilometer dari lokasi kejadian sebelum sebarang keputusan berhubung pembukaan semula sekolah dibuat.

“Kualiti udara masih dipantau dan kita akan maklumkan secara spesifik bila sekolah akan dibuka semula. Buat masa ini, esok masih ditutup, Jumaat dan Sabtu tidak bersekolah, kemungkina­n Ahad dibuka semula, tetapi kita akan maklumkan nanti,” katanya.

Stesen pemantauan bahan tercemar berterusan dapat kesan pencemaran secepat mungkin dengan lebih proaktif” Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia