Berita Harian

Bekas hakim ketuai siasatan khas

Pasukan diterajui Abd Rahim diberi 6 bulan siasat dakwaan

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Rahim Uda mengetuai enam anggota Pasukan Petugas Khas yang akan menyiasat kes kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor, Raymond Koh Keng Joo.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pasukan itu juga akan menyiasat dapatan laporan Suruhanjay­a Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), yang mengaitkan polis Cawangan Khas dengan kehilangan kedua-dua individu berkenaan.

Katanya, pasukan itu diberi tempoh enam bulan untuk melakukan siasatan, bermula dengan kes kehilangan Amri.

“Bagi kes berkaitan Pastor Raymond, siasatan oleh pasukan ini akan dilaksanak­an selepas selesai perbicaraa­n di mahkamah, bagi mengelakka­n berat sebelah.

Bentang hasil siasatan kepada Kabinet

“Hasil siasatan pasukan ini akan saya maklum dan bentang kepada Kabinet,” katanya pada sidang media mengenai pelantikan Pasukan Petugas Khas berkenaan di sini, semalam.

Lima lagi anggota pasukan petugas khas ialah bekas Ketua Bahagian Perundanga­n Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd Noor; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Datuk Zamri Yahya.

Pengarah Bahagian Operasi Suruhanjay­a Integriti Agensi Penguatkua­saan (SIAP), Datuk Muhammad Bukhari Ab Hamid; Pegawai Undang-undang, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara (AGC), Mohd Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian, Suruhanjay­a Pasukan Polis (SPP) Kementeria­n Dalam Negeri, Mohd Russaini ldrus.

Ditanya mengenai wakil PDRM dalam pasukan petugas itu, Muhyiddin berkata, pegawai atau bekas pegawai polis yang dilantik bukan dari Cawangan Khas.

“Kita tidak mahu menganggap pasukan ini seperti polis mahu menyiasat polis, sebab itu kita lantik bekas hakim untuk mengetuain­ya, malah untuk melantik anggota pasukan ini juga mengambil masa supaya ada ketelusan.

Siasatan tanpa gangguan

“Selain itu, terpulang kepada pasukan ini sama ada untuk memanggil 40 saksi yang pernah dipanggil SUHAKAM dalam pendengara­n awam sebelum ini.

“Biar pasukan jalankan siasatan tanpa gangguan, namun jika ada anggota SUHAKAM mahu jumpa pasukan ini, terserah kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Abd Rahim berkata, mesyuarat pertama pasukan berkenaan dijangka bermula minggu depan.

“Siapa pun saksi yang akan dipanggil, kita akan pastikan siasatan dijalankan secara adil,” katanya.

Sebelum ini, dapatan SUHAKAM tentang kehilangan kedua-dua aktivis sosial itu mempunyai kaitan dengan Cawangan Khas PDRM, berdasarka­n inkuiri awam yang bermula pada Oktober 2017.

Amri yang juga pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope hilang sejak 24 November 2016, manakala Raymond diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.

 ?? [FOTO MOHD FADLI HAMZAH /BH] ?? Muhyiddin bersama Abd Rahim (kanan) pada sidang media pelantikan Pasukan Petugas Khas pendengara­n siasatan awam SUHAKAM di Putrajaya, semalam.
[FOTO MOHD FADLI HAMZAH /BH] Muhyiddin bersama Abd Rahim (kanan) pada sidang media pelantikan Pasukan Petugas Khas pendengara­n siasatan awam SUHAKAM di Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia