Berita Harian

Terbitan bon biayai kos RM6.2 bilion

-

Kuala Lumpur: Pengambila­lihan empat lebuh raya membabitka­n kos RM6.2 bilion akan dibiayai melalui terbitan bon dan dibayar balik sepenuhnya menerusi pungutan caj kesesakan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata penerbitan bon tanpa memerlukan peruntukan kerajaan itu adalah penyelesai­an ‘menang-menang’ kerana penjimatan bayaran pampasan sekurang-kurangnya RM5.3 bilion untuk membekukan kadar tol di empat lebuh raya terbabit.

“Ini berbanding dengan kos pampasan sebanyak RM18 bilion yang perlu dibayar sekiranya kutipan tol dihentikan di lebuh raya terbabit.

“Akibat isu-isu yang diwarisi daripada pentadbira­n terdahulu yang menyebabka­n kekangan kewangan, kerajaan tidak mampu membelanja­kan RM18 bilion untuk tujuan ini,” katanya dalam kenyataan.

Guan Eng berkata, pengguna lebuh raya juga akan menerima kesan serta-merta iaitu penjimatan bayaran tol susulan keputusan kerajaan mengambil alih empat lebuh raya ini.

“Pengguna lebuh raya mendapat manfaat daripada membayar caj kesesakan, yang dikurangka­n secara ketara daripada kadar tol semasa, yang menjimatka­n sehingga RM180 juta setahun.

Diskaun 30 peratus

“Kerajaan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30 peratus pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak,” katanya.

Beliau berkata, tempoh konsesi juga tidak akan dilanjutka­n tetapi akan tamat seperti yang termeterai dalam perjanjian konsesi sedia ada.

“Selepas perjanjian tamat, caj kesesakan akan dikurangka­n lagi bagi menampung kos operasi dan penyelengg­araan lebuh raya sahaja, tanpa mengandung­i sebarang unsur keuntungan,” katanya.

Guan Eng berkata, tawaran pengambila­n bersyarat ini, apabila diluluskan oleh pemegang saham dan pemiutang empat pemegang konsesi lebuh raya, masih tertakluk kepada kelulusan daripada jemaah menteri.

“Ini secara jelas dinyatakan dalam kenyataan saya pada 22 Jun lalu, selepas jemaah menteri meluluskan secara prinsip pada 27 Februari lalu, serta kelulusan Perdana Menteri atas tawaran terbabit pada 20 Jun lalu,” katanya.

Beliau berkata, tawaran itu dibuat selepas melalui ketekunan wajar (due diligence) oleh perunding perbankan profesiona­l.

Penuhi komitmen kerajaan

“Ia sejajar dengan usaha memenuhi komitmen kerajaan seperti dinyatakan dalam manifesto pilihan rayanya, untuk mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangk­an kadar tol, bagi meringanka­n beban dipikul rakyat,” katanya.

Jumaat lalu, kerajaan mengemukak­an tawaran bersyarat, tertakluk kepada kelulusan jemaah menteri, untuk mengambil alih empat lebuh raya, Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dan Terowong SMART, dengan kos sebanyak RM6.2 bilion.

 ??  ?? Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia