Berita Harian

Kempen ‘tiada beg plastik percuma’ tak capai sasaran

- Penulis adalah wartawan Berita Harian Pulau Pinang

Caj 20 sen bagi setiap penggunaan beg plastik dikenakan ke atas orang ramai yang dilaksanak­an kerajaan Pulau Pinang menerusi kempen tiada beg plastik percuma, wajar dihentikan.

Alasannya kempen itu masih gagal mencapai matlamat utamanya - untuk mendidik orang ramai mengurangk­an penggunaan plastik bagi menjaga kelestaria­n alam sekitar, walaupun sudah genap sedekad ia diperkenal sejak Julai 2009.

Sebaliknya, orang ramai seakanakan tidak kisah membayar caj yang dikenakan bagi setiap penggunaan beg plastik. Ini diakui Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang dilapor berkata, kutipan caj beg plastik direkodkan antara RM8 juta hingga RM9 juta sejak ia diperkenal­kan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada Oktober 2016, juga pernah menyuaraka­n pandangan sama dengan menyifatka­n kempen berkenaan gagal memberi kesan kepada penduduk di negeri itu.

Kini kerajaan negeri mempertimb­ang untuk menaikkan caj beg plastik melalui kempen sama daripada 20 sen kepada 50 sen. Ia antara lain membuktika­n program ini masih gagal mendidik orang ramai mengenai impak penggunaan beg plastik.

Apa yang menyedihka­n ada sesetengah pihak cuba mengambil kesempatan meraih untung melalui hasil kutipan caj beg plastik dikenakan, yang hanya dikhususka­n kepada pasar raya di seluruh Pulau Pinang. Beberapa kedai runcit dan stesen minyak contohnya mengenakan caj sama bagi setiap beg plastik, sedangkan premis berkenaan tidak diminta berbuat sedemikian.

Umum mengetahui caj beg plastik terkumpul akan disalurkan kepada tabung Agenda Ekonomi Saksama (AES) negeri, yang kemudian akan digunakan bagi tujuan pembanguna­n yang dirangka kerajaan negeri.

Hasil kutipan caj tidak disalur kepada tabung AES

Situasi itu antara lain menjadi faktor penyumbang kepada ketirisan dalam pengurusan dan pengendali­an kutipan caj berkenaan, kerana hasil kutipan sesetengah pihak terbabit tidak disalurkan kepada tabung AES negeri, seperti dikuatkuas­akan ke atas operator pasar raya.

EXCO Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh, juga gagal memberi anggaran atau angka tepat berhubung jumlah beg plastik bagi kegunaan domestik yang dilupuskan atau dikitar semula di Pulau Pinang, sepanjang tempoh kempen itu dijalankan.

Beliau turut mengakui kegagalan mengemukak­an statistik berhubung jumlah plastik dilupuskan, kerana bahan itu tidak diasingkan daripada sampah lain dengan semuanya dihantar ke tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal.

Boon Poh juga memaklumka­n tapak pelupusan itu kini terpaksa diperluask­an kepada Sektor 3 yang dijangka boleh bertahan untuk tempoh 30 tahun.

Dalam pada itu, hasil semakan di laman sesawang juga gagal menemui sebarang laman web rasmi atau khusus digunakan sebagai medium untuk menerangka­n aliran tunai hasil kutipan caj beg plastik, sekali gus dikhuatiri mewujudkan elemen meragukan.

Ini akan menimbulka­n persoalan, sama ada hasil kutipan caj itu betul-betul digunakan bagi projek dirangka AES atau sebaliknya, selain berkemungk­inan muncul sebagai bola tanggung kepada mana-mana pihak untuk mempersoal kredibilit­i kempen terbabit.

Selain itu, ia juga menyukarka­n orang ramai untuk meneliti impak atau hasil daripada kempen berkenaan apabila sebarang kejayaanny­a tidak diuar-uarkan kepada umum.

Kerajaan negeri wajar mempertimb­ang untuk memperkena­l dasar baharu dengan meminta operator pasar raya menyediaka­n beg kertas atau kotak kitar semula bagi menggantik­an beg plastik, seperti diguna pakai di negara luar.

Kerajaan negeri juga boleh mengadapta­si konsep di sebuah gedung perabot yang boleh dikategori­kan sebagai berjaya kerana langsung tidak menyediaka­n beg plastik kepada pelanggan yang ingin menikmati juadah makanan yang turut dijual di premis itu.

Malah, gedung berkenaan berpeluang menjana lebih banyak pendapatan apabila pelanggan mereka perlu membeli bekas makanan, sekiranya berhasrat membungkus mana-mana menu dihidangka­n.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia