Berita Harian

Kesan segera dalang pencemaran toksik

-

Kuala Lumpur: Semua agensi berkaitan perlu mengambil langkah proaktif mengesan sumber pencemaran toksik terbaru sehingga menyebabka­n hampir semua institusi pendidikan di Pasir Gudang, Johor ditutup.

Pengerusi Institut Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kejadian kedua pencemaran itu harus dijadikan iktibar untuk memastikan keselamata­n orang awam terjamin.

“Rakyat mahu melihat Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan mengambil langkah proaktif supaya komuniti di Pasir Gudang seperti sekolah dan kawasan perumahan selamat manakala industri di sekitarnya tidak berterusan menjadi ancaman.

“Apa yang kita perlukan sekarang adalah langkah proaktif, bukan reaktif untuk mencegah berlaku insiden lain,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Lam Thye berkata, pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggun­gjawab mencemar alam sekitar dan mengancam kesihatan awam.

Katanya, NIOSH sedia membantu agensi berkaitan berhubung perkara itu sama seperti kali pertama insiden pencemaran toksik yang berlaku pada Mac lalu.

NIOSH sedia beri bantuan

“Seperti insiden pertama, NIOSH menerusi NIOSH Wilayah Selatan sedia memberikan bantuan dan sokongan ibu pejabat NIOSH yang mempunyai kemudahan dan kepakaran dalam pemantauan pencemaran kimia.

“Selain menghantar pasukan ke Pasir Gudang, NIOSH juga mengedarka­n topeng percuma apabila insiden pertama berlaku pada Mac lalu dan bersama-sama menganjurk­an sesi Tanggungja­wab Sosial Korporat (CSR) Respon Tumpahan dan Kebocoran Kimia dengan kerjasama Akademi Penjagaan Keselamata­n dan Kecemasan (ASEC) di Pasir Gudang pada bulan lalu,” katanya.

Insiden pencemaran udara itu bermula Khamis lalu apabila 14 pelajar dan dua orang dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), serta 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4, mengalami sesak nafas, loya dan muntah.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar, akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaska­n hampir 6,000 penduduk.

Selepas puluhan lagi pelajar di beberapa sekolah sesak nafas, loya dan muntah, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Azman Adnan, mengarahka­n semua institusi pendidikan di Pasir Gudang ditutup sehingga esok, bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia