Berita Harian

Cecair hijau ditemui di hulu Sungai Kim Kim

Penemuan 20 tong berisi sebatian kimia cemaskan penduduk

- Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof dan Nurul Amanina Suhaini

Penemuan cecair hijau seakan-akan minyak atau cat dalam kuantiti banyak di hulu Sungai Kim Kim serta 20 tong dipercayai berisi bahan kimia di tapak balai raya lama Kampung Desa Melayu, Johor Bahru menyebabka­n penduduk sekitar panik susulan pencemaran udara terbaharu pada Khamis lalu.

Tinjauan BH di hulu Sungai Kim Kim di Jalan Keluli 7 di sini, mendapati cecair hijau berkenaan dilihat terkumpul di sungai, tetapi tidak mengeluark­an bau.

Kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga dilihat mengambil sampel cecair berkenaan untuk dianalisis bagi mengenal pasti sama ada mengandung­i bahan toksik.

Ujian sampel juga bertujuan mengenal pasti dalang pencemar bahan berkenaan.

Penduduk mendakwa kilang di kawasan itu melepaskan cecair yang tidak sepatutnya ke sungai sebelum hujan bagi memastikan tindakan mereka tidak dapat dikesan apabila sisa dihanyutka­n arus deras.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh yang turut sama dalam tinjauan itu berkata, beliau terkejut melihat keadaan itu yang menyebabka­n sungai tercemar, walaupun kandungan cecair berkenaan masih belum dipastikan.

“Bagaimana kilang boleh melepaskan cecair ini ke sungai? Mereka perlu melupuskan secara khusus bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.

“Perkara seperti inilah yang membuatkan sungai tercemar dan kesannya, rakyat menjadi mangsa. Pemantauan ketat

perlu dibuat,” katanya.

20 tong bertulis EMAL 270N

Tinjauan di Kampung Desa Melayu pula mendapati kirakira 20 tong biru dan putih ditampal pelekat yang tertulis perkataan ‘EMAL 270N’.

Terdapat juga gambar amaran pada pelekat berkenaan yang memaklumka­n bahan di dalam tong berkenaan adalah bersifat menghakis dan berbahaya.

Berdasarka­n pencarian di internet, EMAL 270N adalah sebatian kimia

yang biasanya digunakan dalam pembuatan sabun atau syampu.

Penduduk kampung yang tidak mahu dikenali berkata, tong berkenaan dikesan orang ramai pada jam 9 pagi semalam.

“Sebelum ini tiada tong seperti ini diletakkan di sini (tapak balai raya lama), kami rasa ada orang yang letak semua tong ini di sini malam tadi (kelmarin).

“Keadaan tong memang seperti baru diletakkan di sini dan bukan terbiar lama.

“Setakat ini, semua tong bertutup dan tiada yang terbuka. Kami tidak berani untuk melihat isi kandungan dalam tong berkenaan,” katanya.

Kelmarin BH melaporkan faktor penguatkua­saan yang lemah di samping tiada pelan tindakan kukuh menyebabka­n pencemaran udara terus menghantui penduduk Pasir Gudang selepas bencana pembuangan sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, tiga bulan lalu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata kegagalan kerajaan negeri dan agensi berkenaan mengambil iktibar bencana Sungai Kim Kim menjadikan penduduk Pasir Gudang kini marah dan hilang kepercayaa­n terhadap kemampuan agensi kerajaan menangani pencemaran udara ini.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Johor berkata, rakyat tidak berpuas hati dengan cara agensi kerajaan menangani isu pencemaran udara di kawasan itu.

 ?? [FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BH] ?? Anggota JAS melakukan bacaan kualiti air di hulu Sungai Kim Kim, semalam.
[FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BH] Anggota JAS melakukan bacaan kualiti air di hulu Sungai Kim Kim, semalam.
 ??  ?? 20 tong dipercayai berisi bahan kimia ditemui di Kampung Desa Melayu, semalam.
20 tong dipercayai berisi bahan kimia ditemui di Kampung Desa Melayu, semalam.
 ??  ?? Che Zakaria menunjukka­n lapisan cecair hijau yang ditemui di hulu Sungai Kim Kim.
Che Zakaria menunjukka­n lapisan cecair hijau yang ditemui di hulu Sungai Kim Kim.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia