Berita Harian

Sampel air di empat lokasi diambil lagi

-

Gua Musang: Sampel air di empat lokasi sekitar perkampung­an Kuala Koh, di sini, sekali lagi diambil bagi mendapatka­n keputusan lebih tepat susulan insiden kematian 15 Orang Asli suku Batek.

Antara jabatan terbabit kerja pengambila­n sampel berkenaan, semalam, ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementeria­n Kesihatan (KKM) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Empat lokasi terbabit adalah berdasarka­n rujukan penduduk kampung dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Jariah Malaysia yang mendakwa kematian Orang Asli berkenaan berpunca daripada penggunaan air di tempat berkenaan.

Lokasi itu membabitka­n air tadahan bukit yang memerlukan petugas berkenaan, termasuk media mendaki bukit selama 40 minit untuk tiba, sungai tempat mandi penduduk, telaga tiub dan air sambungan di kawasan penempatan.

Pengarah Bahagian Pelaksanaa­n Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Azizan Abu Taat, berkata semua sampel air berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut.

Keputusan konklusif

“Ini kali ketiga sampel diambil dan ada lima siri lagi sampel perlu diambil bagi memastikan ketepatan keputusan, sekali gus memuaskan hati semua pihak.

“Operasi pengambila­n sampel hari ini (semalam) yang bermula jam 10 pagi hingga 3 petang berjalan lancar. Kita menjangkak­an keputusan lapan sampel berkenaan diperoleh bulan depan.

“Pengambila­n sampel membabitka­n lapan siri itu adalah untuk mencapai keputusan konklusif yang membezakan keadaan cuaca. Fokus ialah pencemaran air kerana kita mahu penduduk Orang Asli mendapat air yang bersih,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kimia, Mohd Zaini Abdul Rahman; Pengarah JMG Kelantan, Che Abdul Rahman Jaafar; Pegawai Kesihatan Daerah Gua Musang, Dr Mohamad Rafiq Mohd Kasri; dan Presiden Sahabat Jariah Malaysia, Johan Halid.

Lokasi sama

Mengulas lanjut, Azizan berkata, lokasi sampel diambil adalah sama dengan sebelum ini, melainkan ada maklumat tambahan daripada pihak berkaitan.

“Kita berterima kasih kepada NGO yang banyak menyalurka­n maklumat kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok, berkata beliau berpuas hati apabila pihak berkaitan turun padang mengambil sampel semula.

“Saya berterima kasih kerana pihak berkenaan prihatin terhadap nasib yang menimpa kami.

“Walaupun keadaan kampung sudah kembali kepada seperti asal, kami masih berasa bimbang untuk menggunaka­n air,” katanya ketika di temui di sini, semalam.

 ?? [FOTO FATHIL ASRI /BH] ?? Petugas Kementeria­n Kesihatan mengambil sampel air tadahan bukit di Sungai Pertang di Kampung Kuala Koh, semalam.
[FOTO FATHIL ASRI /BH] Petugas Kementeria­n Kesihatan mengambil sampel air tadahan bukit di Sungai Pertang di Kampung Kuala Koh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia