Berita Harian

Dua tertuduh tak mengaku bersalah

-

Alor Gajah: Seorang pesara dan anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam terhadap 27 pertuduhan pecah amanah menggunaka­n kad inden minyak milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2016.

Pertuduhan terhadap Zahari Daud, 59, dan Mior Mohd Syamsul Jalaluddin, 34, yang bertugas di cawangan pengangkut­an Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, dibuat secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut empat pertuduhan terhadap Zahari, tertuduh sebagai seorang yang diamanahka­n kad inden minyak milik PDRM didakwa dengan curangnya melakukan pecah amanah, menggunaka­n harta itu bagi pembelian bahan api diesel membabitka­n nilai RM7,833.43.

Empat stesen minyak

Kesalahan itu dilakukan pada 30 November dan 2 Disember 2016 di empat stesen minyak di sekitar Melaka.

Mior Mohd Syamsul berdepan 23 pertuduhan kesalahan sama yang membabitka­n nilai RM13,851.42 yang dilakukan di sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Perak sejak Januari 2016 hingga Mei 2017.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal, mencadangk­an jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Zahari manakala RM5,000 bagi setiap pertuduhan (23 pertuduhan) terhadap Mior Mohd Syamsul.

Bagaimanap­un, Ahmad Sazali menawarkan tertuduh berstatus warga emas dengan jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan manakala RM25,000 kepada Mior Mohd Syamsul bagi semua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan 22 Julai ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pada sebutan pertama itu, Mior Mohd Syamsul diwakili peguam bela Mohd Fadzlullah Ramlee, manakala Zahari tidak diwakili peguam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia