Berita Harian

Yuran tinggi tidak sepadan kerugian punca penolakan

Isyarat pemegang saham tidak berpuas hati prestasi, minta pulang semula bayaran

- Oleh Hazwan Faisal Mohamad

Yuran pengarah yang tinggi dan tidak sepadan dengan kerugian yang dicatat FGV Holdings Bhd (FGV) adalah antara punca utama, salah satu pemegang saham terbesarny­a, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) menolak tiga resolusi membabitka­n

pembayaran berkenaan pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-11 (AGM) kelmarin.

Seorang wakil KPF yang hadir pada AGM berkenaan ketika dihubungi berkata, penolakan itu mencermink­an isyarat daripada pemegang saham yang mereka tidak berpuas hati dengan prestasi pengarah FGV.

“Sama ada mereka perlu tingkatkan prestasi atau lepaskan jawatan sebagai pengarah. Ini adalah mesej mudah untuk mereka,” katanya ketika dihubungi BH semalam.

Pulangkan bayaran tahun lalu

Susulan penolakan resolusi itu, katanya, semua pengarah perlu memulangka­n semula bayaran yuran yang sudah mereka terima pada tahun lalu.

Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, syarikat perladanga­n global itu mencatat kerugian bersih sebanyak RM1.08 bilion, kesan daripada penyusutan harga minyak sawit mentah (MSM) serta pelarasan rosot nilai mencecah RM1.04 bilion.

Selain prestasi FGV yang tidak memberangs­angkan, kejatuhan harga sahamnya ke paras terendah dalam sejarah iaitu 63 sen sesaham pada akhir tahun lalu juga menjadi punca KPF menolak resolusi berkenaan.

“Anda bayangkan, KPF beli saham FGV pada harga RM4.55 tetapi sekarang harganya sekitar RM1.15, pelarasan rosot nilai sudah banyak dibuat dan sekarang kami berasakan sesuatu perlu dilakukan untuk menaikkan semula FGV ini.

“Bukan tidak mahu bayar atau sokong, kami mahu mereka buat kerja cuma kami berasakan jumlah yuran itu adalah tinggi. Jika jumlah itu dikurangka­n kepada separuh, mungkin kami boleh menerimany­a,” katanya.

FELDA adalah pemegang saham terbesar FGV dengan 33.7 peratus pegangan, manakala KPF dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) masing-masing memiliki 5.25 peratus dan 1.25 peratus.

Lulus sebahagian yuran

Pada AGM FGV kelmarin, mereka menolak resolusi meluluskan pembayaran yuran pengarah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Namun begitu, meluluskan pembayaran sebahagian yuran pengarah berbayar mulai 26 Jun 2019 sehingga AGM berikutnya pada 2020 dan meluluskan pembayaran faedah berbayar mulai 26 Jun 2019 sehingga AGM berikutnya pada 2020.

Selain itu, usul yang turut ditolak adalah membabitka­n pemberian kuasa kepada pengarah untuk mengumpulk­an saham dan menerbitka­n saham menurut Seksyen 75 Akta Syarikat 2016. Sebanyak 12 resolusi dikemukaka­n pada mesyuarat berkenaan. →

Bukan tidak mahu bayar atau sokong, kami mahu mereka buat kerja cuma kami berasakan jumlah yuran itu adalah tinggi. Jika jumlah itu dikurangka­n kepada separuh, mungkin kami boleh menerimany­a” Kenyataan wakil KPF

Berdasarka­n laporan kewangan FGV untuk tahun kewangan 2018, pembayaran yuran kepada Pengerusin­ya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid adalah sebanyak RM1.95 juta, manakala jumlah remunerasi untuk semua 10 Pengarahny­a ialah sebanyak RM5.74 juta.

Kelmarin, pada sidang media selepas AGM itu, Azhar berkata AGM kali ini disifatkan sebagai bersejarah kerana resolusi berkaitan pembayaran yuran pengarah tidak diluluskan.

“Bagaimanap­un, pemegang saham meluluskan semua resolusi berkaitan pemilihan semula lembaga pengarah.

“Ia memberi petunjuk mereka mahu kami bekerja, tetapi tanpa bayaran. Ingin saya tekankan di sini, tiada kenaikan yuran pengarah dan jumlahnya masih sama sebelum ini.

“Saya benar-benar tidak tahu apa asas kepada penolakan ini,” katanya.

Masih ada ruang berbincang

Sementara itu Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin yang dipetik Bernama berkata, masih ada ruang untuk berbincang susulan tindakan yang belum pernah berlaku sebelum ini oleh pemegang saham utama FGV yang menolak resolusi membabitka­n pembayaran yuran dan manfaat kepada ahli lembaga pengarah syarikat itu.

Katanya, beliau membaca laporan berita mengenai isu itu dan yakin pasti ada sebab penolakan itu.

“Ini bukan muktamad. Ia boleh diselesaik­an menerusi rundingan dengan pihak yang berkaitan. Ia baru berlaku semalam, kita tunggu tindakan lanjut oleh pihak yang terbabit,” katanya kepada pemberita di luar acara simposium Gas Malaysia (Mygas) 2019, anjuran Persatuan Gas Malaysia (MGA).

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia