Berita Harian

Bekalan air cukup tampung keperluan pengguna

-

Seremban: Bekalan air bersih di Negeri Sembilan cukup untuk menampung keperluan pengguna di seluruh negeri serta beberapa kawasan di Melaka.

Ketika memberi jaminan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata empangan di Negeri Sembilan merekodkan paras air pada 95 peratus dan cukup untuk menyalurka­n air tambahan kepada Melaka, sekiranya diperlukan.

“Melaka sedang membuat persiapan untuk musim kemarau pada Julai, Ogos dan September depan dan kita rasakan Negeri Sembilan mempunyai kemampuan (untuk membekalka­n air bersih).

“Negeri Sembilan mempunyai air yang mencukupi. Empangan kita pada paras 95 peratus sejak dua bulan lalu tetapi Melaka hanya 44 peratus,” katanya selepas menyempurn­akan Majlis Penyerahan Kenderaan Penguat Kuasa Pentadbira­n Kerajaan Negeri Sembilan 2019 di Wisma Negeri di sini, semalam.

Masalah kemarau

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kerjasama itu bagi memastikan bekalan air cukup untuk membantu pengguna di Melaka yang menghadapi masalah kemarau dan jika masalah selesai, bantuan akan dihentikan.

Pada 19 Jun lalu, BH melaporkan Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) membekalka­n air bersih tambahan kepada Melaka menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) berkuat kuasa 19 Jun lalu sehingga 31 Disember tahun depan.

Menerusi perjanjian antara dua negeri itu, SAINS akan membekalka­n 12 juta liter air bersih tambahan sehari (mld) pada kadar RM1.40 untuk setiap meter padu.

Aminuddin berkata, bekalan dan bayaran air bersih yang disalurkan ke negeri itu bergantung kepada permintaan pengguna di negeri berkenaan.

“Kita gunakan satu saluran, jika Melaka perlukan air, mereka akan buka paip dan setiap sambungan ada meter. Bayaran akan dibuat berdasarka­n kiraan meter itu. Setakat ini, tiada gangguan air di Negeri Sembilan,” katanya.

Negeri Sembilan mempunyai air yang mencukupi. Empangan kita pada paras 95 peratus sejak dua bulan lalu tetapi Melaka hanya 44 peratus ” Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia