Berita Harian

Perkenalan dengan jejaka Melayu buka hati peluk Islam

Gadis Korea tekad dalami ilmu agama, budaya masyarakat Malaysia

- Oleh Siti Rohana Idris

Menjalani hidup tanpa menganut sebarang agama, tetapi percaya tuhan itu wujud meletakkan wanita Korea, You Narae, dalam persimpang­an memilih agama apa yang tepat sebagai panduan hidup.

Perkenalan dengan pemuda Melayu dari Kota Bharu, Kelantan, Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim, 27, yang ketika itu sedang menuntut di Universiti Korea, Seoul mula menjentik hatinya untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam.

Melihat kepada cara hidup dan amalan Nik Muhammad Ryzal, wanita berusia 27 tahun itu terus tertarik dengan Islam lebih-lebih lagi apabila melihat keluarga pemuda itu menumpang solat di rumahnya ketika berkunjung ke negara itu, pada penghujung tahun lalu.

Dalami kelebihan, amalan berpuasa

You Narae berkata, tarikan dengan Islam semakin menebal apabila Nik Muhammad Ryzal memberitah­u akan berpuasa selama sebulan beberapa hari sebelum Ramadan, tahun lalu.

“Saya bertanyaka­n kepadanya apa tujuan berpuasa dan dia menerangka­n serba sedikit, malah untuk mengetahui secara terperinci saya mencari maklumat sendiri melalui pembacaan dan melayari internet, sekali gus menjadikan saya kagum dengan Islam.

“Sebelum ini, saya memang percaya tuhan itu wujud, tapi tidak tahu agama apa yang harus saya ikuti sebelum dipertemuk­an dengan Ryzal yang saya anggap sebagai ‘saluran’ hidayah Allah kepada saya,” katanya ketika dihubungi.

Wanita yang bekerja sebagai ahli fisioterap­i di sebuah hospital di bandar Ansan, Korea itu, kini sudah memeluk Islam secara tidak rasmi apabila mengucapka­n dua kalimah syahadah di hadapan Nik Muhammad Ryzal, pada Ramadan lalu.

Adik Nik Muhammad Ryzal, kemudian memberikan saya nama Islam, iaitu Maryam.

You Narae berkata, ketika mencari makna dan pengertian sebenar mengenai Islam dan ajarannya, beliau ‘berguru’ menerusi buku, kitab asas, bertanyaka­n kepada Nik Muhammad Ryzal, selain banyak melayari internet.

“Selepas bersedia (memeluk Islam), saya melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Nik Muhammad Ryzal, pada 1 Ramadan lalu sebelum dirujuk kepada imam Masjid Itaewon.

Positif terhadap Islam

“Saya kemudian dibawa ke Pusat Buku Islamik yang berdekatan untuk berjumpa dengan pengusaha kedai itu, Muneer Ahmad, yang memberikan al-quran secara percuma dalam terjemahan Korea dan Inggeris serta beberapa buku ilmiah sebagai rujukan.

Selepas melihat wujud keserasian mereka berdua, You Narae dan Nik Muhammad Ryzal mengikat tali pertunanga­n, sebelum Aidilfitri lalu.

Bercerita lanjut, merasai pengalaman pertama kali berpuasa sesuatu yang amat janggal buat wanita itu, namun digagahi juga dengan semangat menahan lapar dan dahaga sehingga waktu berbuka.

Malah, sesuatu yang boleh dibanggaka­n apabila You Narae berjaya berpuasa untuk dua minggu.

Nik Muhammad Ryzal berkata, beliau tidak pernah memaksa You Narae memeluk Islam.

Bagaimanap­un, katanya, sejak berkenalan, You Narae sudah menunjukka­n sisi positif untuk mengetahui mengenai Islam secara terperinci.

“Apa yang dia tahu mengenai Islam sebelum ini adalah dikaitkan dengan pengganas Islamic State (IS), namun gambaran sebaliknya dia lihat selepas mengenali saya kerana sikap yang ditunjukka­n adalah bertentang­an dengan pengertian­nya.

“Atas faktor itu dia semakin ingin mengenali Islam dan budaya Melayu, termasuk cuba memakai tudung, makan makanan Melayu, bertutur dalam bahasa Melayu atau meniru dialek Kelantan.

“Yang membanggak­an saya, dia juga membaca doa ringkas dan kini sudah mampu menghafaz surah al-fatihah,” katanya.

Teruja beraya

Nik Muhammad Ryzal kini bekerja sebagai perunding jualan di sebuah syarikat telekomuni­kasi di Suwon mengambil keputusan untuk melangsung­kan perkahwina­n mereka pada awal Julai ini di sebuah masjid di Korea.

Bercerita mengenai pengalaman membawa pulang wanita itu menyambut Aidilfitri baru-baru ini, Nik Muhammad Ryzal berkata, tunangnya sangat teruja dan sama sekali tidak pernah menyangka ada perayaan sebegitu disambut umat Islam.

Katanya, You Narae juga memakai pakaian baharu yang cantik, menikmati aneka juadah tersedia dan seronok mengikut beliau mengunjung­i rumah sanak-saudara.

“Dia teruja dan tidak bosan meskipun sehari suntuk beraya di rumah sanak saudara serta rakan.

“Maryam (You Narae) juga tidak ketinggala­n mengikut kami menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Muhammadi, di sini bersama adik dan ibu saudara saya.

“Walaupun dia masih belum mampu membaca semua bacaan dalam solat dan hanya mengikut perbuatan (dalam solat) tapi kesediaann­ya untuk mendalami Islam cukup mengharuka­n saya dan keluarga,” katanya.

 ?? [FOTO SITI ROHANA IDRIS /BH] ?? Nik Muhammad Ryzal bersama You Narae memberi duit raya kepada kanak-kanak di Kampung Petani Sering, Kota Bharu, ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
[FOTO SITI ROHANA IDRIS /BH] Nik Muhammad Ryzal bersama You Narae memberi duit raya kepada kanak-kanak di Kampung Petani Sering, Kota Bharu, ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
 ??  ?? You Narae membaca buku serta melayari internet bagi menambah pemahaman berkaitan Islam.
You Narae membaca buku serta melayari internet bagi menambah pemahaman berkaitan Islam.
 ??  ?? You Narae mencuba membuat sarung ketupat ketika mengunjung­i rumah kenalan di Kampung Petani Sering, baru-baru ini.
You Narae mencuba membuat sarung ketupat ketika mengunjung­i rumah kenalan di Kampung Petani Sering, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia