Berita Harian

Belanda mara ke suku akhir selepas jinak Jepun

-

Rennes (Perancis): Skuad bola sepak Belanda buat julung kali mara ke suku akhir Piala Dunia Wanita selepas penalti lewat permainan Lieke Martens membantu mereka menang 2-1 ke atas Jepun, di sini, kelmarin.

Martens memecah kebuntuan sejurus 17 minit permainan namun disamakan oleh Yui Hasegawa sebelum rehat tetapi Belanda yang juga juara Eropah mara hasil penalti minit akhir perlawanan yang disempurnk­an Martens.

Jepun, yang menguasai aksi babak kedua mencipta banyak peluang namun gagal menemui sasaran.

Sebaliknya Belanda, yang hanya beraksi kali kedua di Piala Dunia akan berdepan Itali di Valencienn­es, pada Sabtu ini selepas Azzurre menewaskan China 2-0.

“Kami sangat gembira dan menjerit sesama sendiri di tengah padang,” kata jurulatih Belanda, Sarina Wiegman.

“Kami bersorak, jom cipta sejarah! Buat pertama kali kami mara ke suku akhir Piala Dunia. Kami akan meraikan kejayaan ini dan esok kami akan mula memikirkan mengenai Itali.”

Jepun selaku finalis edisi lalu dan juara 2011 pula menanggung derita paling besar dengan penyingkir­an itu.

“Kami tahu ia pasti sukar. Kami beraksi dengan tenang tetapi kami perlu lebih berkesan,” kata jurulatih Jepun, Asako Takakura.

“Menuju hujung permainan, kami mencipta peluang tetapi tidak bernasib baik kerana gagal menemui sasaran, saya memang sedih melihat mereka.”

Skuad Oranje menguasai babak pertama apabila sepakan Vivianne Miedema terkena palang dan berjaya mendahului lawan minit ke-17 apabila Martens menemui sasaran hasil sepakan sudut.

Jepun, turut beroleh peluang menerusi cubaan Yuika Sugasawa selepas itu namun ia sekadar terkena tiang.

Kemaraan Belanda menjadikan tujuh daripada lapan wakil Eropah mara ke suku akhir Piala Dunia 2019.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia