Berita Harian

Silva ikut jejak Zidane akhiri karier

-

Rio de Janeiro: Pertahanan Brazil dan Paris Saint-germain (PSG), Thiago Silva menyatakan dia mengambil inspirasi daripada Zinedine Zidane dan bercadang bersara dari bola sepak sebelum dia ditimpa detik ‘memalukan’.

Thiago Silva yang melakukan 39 penampilan dalam semua kejohanan bersama PSG musim lalu sedang berjuang membantu Brazil di Copa America dan sudah beraksi penuh dalam tiga perlawanan setakat ini.

Biarpun belum memikirkan soal persaraan, namun Silva percaya keputusan Zidane menggantun­g but selepas tamat Piala Dunia 2006 pada usia 34 tahun seharusnya menjadi contoh baginya.

“Saya harap dapat membuat keputusan seperti itu dengan bersara sebelum sepasang kaki saya tidak berguna buat saya,” katanya.

“Saya tidak mahu memalukan diri sendiri di atas padang dan enggan satu hari nanti membiarkan ada pemain lain dengan mudah mengatasi larian saya. Saya gembira dengan kejayaan karier dan saya mahu menamatkan­nya ketika berada di puncak kerjaya.

“Saya peminat dan kagum dengan cara Zinedine Zidane menamatkan karier sejurus tamat Piala Dunia. Mungkin satu ketika nanti, saya juga akan berhenti dengan cara sama.”

Namun berbanding Zidane - yang kini pengendali Real Madrid - Silva pula percaya bakatnya hanya sesuai untuk tugasan sebagai pembantu jurulatih.

“Saya tidak melihat bakat saya sebagai ketua, saya memang mahu terus berada di padang, mungkin sebagai jurulatih atau penolong jurulatih,” katanya.

“Saya akan menyaksika­n seberapa banyak perlawanan yang mampu. Saya mahu mengetahui perbezaan tahap permainan di peringkat sekolah sama ada di Perancis, Belanda atau Itali, melihat sama ada mereka menggunaka­n corak bertahan atau menyerang.

“Dengan cara ini nanti, saya ada pengalaman dan berharap satu hari nanti saya mampu berperanan sebagai jurulatih.” AGENSI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia