Berita Harian

Tugas besar menanti Zaqhwan

-

Kuala Lumpur: Litar Suzuka di Jepun bakal memperliha­tkan pelumba HONDA Asia Dream Racing With Showa, Zaqhwan Zaidi memikul tugas besar tatkala dirinya mahu memburu kemenangan berganda pada pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), hujung minggu ini.

Menyertai kelas perdana ASB1000CC, Zaqhwan ketika ini ketinggala­n 21 mata daripada pendahulu dari Yamaha Racing Team ASEAN, Broc Parkes dan 13 mata daripada penghuni tangga kedua keseluruha­n yang juga rakan senegara, Azlan Shah Kamaruzama­n (ONEXOX TKKR SAG).

Malah di atas kertas, kedudukan Zaqhwan di tangga ketiga juga agak goyah dengan dua pelumba yang berada di tangga keempat dan kelima - Apiwat Wongthanan­on (YAMAHA Thailand Racing Team) dan Yuki Ito (YAMAHA Racing Team ASEAN) - juga tidak begitu jauh.

Sasaran dipertaruh­kan Zaqhwan di Suzuka itu selari dengan fokus utamanya musim ini iaitu menumpukan pemburuan gelaran di peringkat Asia berbanding di Kejuaraan Seluruh Jepun dan Perlumbaan Endurance 8 Jam Suzuka.

“Kalau ikutkan persaingan memang sengit kerana harus bersaing dengan Azlan, Parkes dan pelumba Yamaha lain. Jurang mata antara kami begitu dekat. Pada perlumbaan di Suzuka nanti, paling tidak saya harus menang dalam kedua-dua perlumbaan untuk mengejar mereka.

“Apapun, bagi saya ia bukan satu tugas mudah kerana kami juga sedang mencari pelarasan motosikal. Sekiranya hendak dibandingk­an dengan mereka... Azlan menggunaka­n jentera BMW, (Parkes) Yamaha mungkin mereka mempunyai kelebihan daripada sudut motosikal.

“Jadi, saya perlu melakukan sesuatu yang berbeza pada perlumbaan nanti,” kata Zaqhwan yang pernah meraih gelaran dalam kelas Supersport­s 600cc pada 2014 dan 2016 itu.

Setakat tiga pusingan musim, Zaqhwan yang juga bekas pelumba Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia pada musim 2015 hanya sekali meraih kemenangan iaitu di Perlumbaan 2 Pusingan 1 di Litar Antarabang­sa Sepang pada awal Mac lalu selain penamat kedua di Litar Antarabang­sa Chang di Buriram, Thailand, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia