TINGKATKAN PENDAPATAN PETANI
Kerajaan akan laksana konsep pertanian estet untuk petani dan pekebun kecil bagi membantu meningkatkan hasil dan pendapatan penduduk luar bandar Sawah, kebun dan ladang kecil dicantum, diusahakan secara estet dengan pertanian campuran berskala besar yang
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan melaksanakan konsep pertanian estet yang disertai petani dan pekebun kecil dalam usaha meningkatkan hasil dan pendapatan penduduk luar bandar.
Perdana Menteri berkata, melalui konsep itu, sawah, kebunkebun dan ladang kecil milik pekebun kecil dan petani dapat dicantumkan untuk diurus secara estet dalam skala besar.
Katanya, setiap kawasan yang dicantumkan akan diusahakan dengan pertanian campuran berbanding kaedah konvensional yang hanya menumpukan kepada satu tanaman atau komoditi.
“Kita yakin kalau (kebun dan ladang dimiliki petani dan pekebun kecil) diuruskan secara ladang besar, mereka akan dapat keuntungan yang baik.
“Kita akan usaha mengenal pasti
kawasan yang boleh dicantum dan diurus secara estet. Kawasan-kawasan ini sebenarnya lebih luas daripada estet getah (dimiliki syarikat perladangan utama), tetapi estet itu keluarkan hasil lebih banyak.
Kaedah pertanian campuran
“Jadi kita kena jadikan kawasan itu untuk dicantumkan, (kemudian) kita boleh menggunakan kaedah pertanian campuran,” katanya selepas melancarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 di sini, semalam.
Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun dan timbalannya, R Sivarasa.
Ketika ditanya, sama ada konsep pertanian estet itu akan mengambil contoh daripada FELDA, Perdana Menteri berkata ia boleh ditambah baik.
Katanya, konsep itu seharusnya mencantumkan semua tanah milik pekebun atau petani dan diurus secara profesional, bukannya pemilik hanya mengusahakan tanah milik sendiri seperti dilaksanakan di FELDA ketika ini.
“(Konsep) FELDA itu tersilap, kita cadang buat estet besar yang mana setiap peneroka miliki 10 ekar (4 hektar), kalau 10,000 ekar (4,000 hektar) maknanya ada 100 peneroka.
“Tetapi saya dapati ia tak dilakukan, peneroka urus (tanah) sendiri sahaja, ia tak cekap dan bila diurus sebagai estet kecil itulah menyebabkan pendapatan mereka kurang,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata estet besar yang diurus pelabur dan syarikat swasta meraih keuntungan berlipat ganda dengan mengusahakan ladang berkeluasan hingga 10,000 hektar, begitu juga pengusaha pertanian dalam skala besar yang bergelar jutawan.
“Tetapi kita lihat petani miskin dan tak dapat pendapatan cukup kalau mereka sendiri tanggung semua perbelanjaan untuk bercucuk tanam di tanah mereka, sebab kawasan mereka kecil cuma satu atau dua ekar (0.4 hingga 0.8 hektar).
“Kawasan kecil tak boleh beri hasil mencukupi kerana keluaran sedikit, selagi kita miliki kawasan kecil, selagi itu petani kita miskin dan perlu bantuan subsidi daripada kerajaan,” katanya.
Keuntungan diagih secara adil
Beliau berkata, melalui konsep percantuman kebun dan ladang kecil itu, ia kemudian boleh melantik pengurus dan keuntungan nanti dapat diagih secara adil mengikut hasil berdasarkan keluasan keseluruhan tanah diusahakan.
Pada masa sama, katanya, petani boleh melakukan kerja lain untuk menjana pendapatan tambahan seperti berniaga dan membuka perusahaan tertentu.
“Satu lagi pendekatan untuk tingkat pendapatan penduduk luar bandar ialah pelbagaikan jenis tanaman. Sekian lama satu ladang diusahakan dengan satu tanaman seperti getah dan sawit, bila harga komoditi jatuh, kita merana.
“Sebaliknya jika sekeping tanah yang dicantum dibahagikan untuk tanaman yang beri hasil lebih cepat, saya yakin ia akan bantu peladang di waktu kejatuhan harga komoditi,” katanya.
Kita yakin kalau (kebun dan ladang dimiliki petani dan pekebun kecil) diuruskan secara ladang besar, mereka akan dapat keuntungan yang baik. Kita akan usaha mengenal pasti kawasan yang boleh dicantum dan diurus secara estet” Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri