Berita Harian

Antara kuasa majikan dan hak insan

-

Dalam Bajet 2018, di antara perkara yang diberi penekanan kerajaan adalah layanan dan hak sewajarnya perlu diberikan kepada wanita hamil dan cuti bersalin. Kerajaan bersetuju menambahka­n cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari atas dasar untuk memastikan ibu dapat berehat serta menjaga kesihatan diri bersama bayi, di samping menyusukan­nya.

Bagaimanap­un, golongan suami berdepan polemik jika isteri bersalin. Secara rasminya tidak termaktub dalam akta undang-undang di Malaysia, adakah mereka layak untuk bercuti apabila isteri bersalin?

Cuti yang mereka peroleh bergantung kepada ihsan dan dasar majikan masing-masing. Cuti suami menjadi polemik selepas Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) baru-baru ini mencadangk­an suami bekerja dalam sektor swasta diberi cuti tujuh hari apabila isteri bersalin.

Kerajaan sebelum ini turut bercadang untuk memberi cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja sektor swasta. Namun, Persekutua­n Majikan-majikan Malaysia (MEF) dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memberi cuti paterniti selama tiga hari kepada pekerja sektor swasta kerana bakal memberi kesan terhadap kos operasi syarikat.

Faktor untung, rugi

Sebagai majikan, kita akui sudah tentu mereka mempunyai alasan dan sebab untuk tidak ‘sebulu’ dengan cadangan kerajaan dan MTUC. Faktor ‘untung dan rugi’ menjadi keutamaan majikan. Kita tidak boleh menyalahka­n mereka.

Namun, sebagai pekerja, cuti paterniti pada era ini tidak boleh dipandang sebelah mata. Pasangan suami isteri hari ini hidup dalam suasana dan persekitar­an berbeza. Ramai yang tidak lagi tinggal di kampung kerana bekerja di bandar.

Peningkata­n status sosial mereka menerusi kelayakan akademik mendorong mereka meneroka peluang pekerjaan di bandar dan membina keluarga bersama isteri yang turut berkerjaya. Mereka terpaksa tinggal berjauhan dengan ibu bapa, adik beradik dan saudara mara.

Maka si suami sudah tentu perlu menjaga dan memantau keadaan kesihatan isteri serta bayi pasca bersalin sementara menunggu ‘bantuan’ ibu bapa atau adik beradik tiba. Tempoh kritikal dalam dua atau tiga hari selepas kelahiran ini yang perlu dihadapi si suami.

Bagi pasangan muda yang baru kali pertama menimang cahaya mata, sudah tentu ia bukan sesuatu yang mudah untuk berdepan situasi ini. Bagi pasangan yang ibu mereka sedia membantu menguruska­n proses pasca bersalin, mungkin tidak akan berdepan dengan kejutan, tetapi bagaimana dengan mereka yang terpaksa menempuhny­a dengan pasangan, sudah tentu jalan ceritanya berbeza.

Bantu urus keluarga

Walaupun pada hakikatnya si isteri yang mengandung dan melahirkan bayi, ada banyak sebab mengapa golongan lelaki juga patut diberikan tempoh cuti bersalin atau paterniti yang lebih panjang.

Antaranya, membina hubungan dengan bayi, membantu menguruska­n urusan di rumah terutama bagi pasangan yang mempunyai anak kecil lain yang perlu diuruskan untuk ke sekolah atau pengasuh. Cuti paterniti yang panjang juga membantu memulihkan semangat isteri selepas bersalin dan mengurangk­an risiko isteri meroyan kerana suami dapat membantu menguruska­n kerja seharian di rumah.

Cuti paterniti yang lebih lama dapat memberi ruang kepada pasangan baru memperoleh zuriat untuk menyesuaik­an diri dengan peranan baru dalam hidup. Di negara ini, kita dapat melihat ada syarikat yang memberi cuti paterniti panjang kepada pekerja lelaki seperti ialah CIMB Bank dan IKEA Malaysia.

Di luar negara khasnya seperti Norway, Sweden, Iceland, dan Finland, negara terbabit memperuntu­kkan tempoh cuti bersalin sekitar 14 hari serta cuti yang boleh dikongsi sehingga lebih 30 hari bagi suami dengan pilihan dasar gaji yang fleksibel.

Mungkin, majikan boleh melihat dari sudut positif di sebalik cuti paterniti yang panjang. Ia bukan sekadar isu ringgit dan sen semata-mata, bahkan menyentuh hak insan untuk mendorong mereka kembali bekerja dengan perasaan lega dan bersemanga­t. Penulis adalah wartawan Meja Am Berita Harian

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia