Berita Harian

Sokongan psikologi beri penagih kehidupan normal

-

Selepas lebih tiga dekad negara memerangi dadah, Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) dan Kementeria­n Kesihatan (KKM) akhirnya bersetuju menggunaka­n pendekatan dikriminal­isasi dalam usaha membantu merawat penagih dadah yang dilihat tidak pernah berkuranga­n saban tahun.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan sudah tiba masanya penagihan dadah dilihat daripada perspektif penyakit yang perlu dirawat, bukannya kesalahan yang memerlukan penagih ditangkap dan menjalani hukuman undang-undang termasuk dipenjarak­an.

Antara program yang dicadangka­n adalah ‘harm reduction’ (program penguranga­n kemudarata­n) menerusi terapi dadah gantian methadone yang sebenarnya sudah mula diperkenal­kan di negara ini sejak 2005.

Dalam merawat ketagihan, sokongan psikologi sebenarnya lebih diperlukan untuk memulih dan mengembali­kan penagih menjalani kehidupan normal yang sihat terutama menerusi program berasaskan masyarakat.

Mengasingk­an atau mengurung mereka di tempat sempit dan sesak tanpa kemudahan pemulihan bersesuaia­n seperti hukuman penjara tidak akan membantu

mereka melawan ketagihan.

Namun terapi gantian methadone yang mula diperkenal­kan di negara ini sejak 2005 dilihat tidak popular selain alternatif ini masih sukar diterima apabila ramai yang menyamakan­nya sebagai sokongan tersirat terhadap penggunaan dadah secara rekreasi.

Beri kesan sama

Rawatan ini membabitka­n pemberian methadone atau dadah sintetik yang mempunyai kesan sama seperti heroin dan morfin secara preskripsi di bawah pengawasan pegawai perubatan. Dos diberikan mampu mengurangk­an ketagihan, manakala pengambila­nnya secara oral pula mengurangk­an jangkitan HIV menerusi penggunaan dadah secara suntikan (IDU).

Jika diimbas, kita mula mengisytih­arkan dadah sebagai ‘musuh nombor satu’ bermula 19 Februari 1983 menerusi kempen besarbesar­an yang diharapkan mampu menangani masalah ini. Malangnya sehingga hari ini, angka dan statistik berkaitan dadah terus menunjukka­n peningkata­n.

Pada 2010 statistik menunjukka­n seramai 23,642 orang terbabit dadah dan terus meningkat pada 2016 menjadikan jumlahnya, 30,844.

Kes tangkapan atas kesalahan dadah turut menambahka­n kesesakan di penjara apabila 36,000 daripada 60,000 banduan atau lebih 50 peratus daripada tahanan di penjara seluruh negara adalah kerana kesalahan berkaitan dadah.

Lebih memburukka­n keadaan, hukuman penjara dikenakan terutama terhadap penagih dadah tidak dapat membantu mereka melawan ketagihan berikutan keadaan penjara yang penuh sesak dan serba kekurangan.

Sehubungan itu, Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzam­an, berkata sudah tiba masanya negara melakukan perubahan dasar dalam usaha untuk memerangi dadah terutama membabitka­n kes penagihan berulang.

Undang-undang antidadah sedia ada yang turut mengenakan hukuman mati terhadap pesalah yang mengedar dadah nampaknya tidak meninggalk­an banyak kesan atau mengurangk­an kes, sebaliknya memerlukan kerajaan untuk menanggung kos lebih tinggi.

Sebanyak RM643 juta diperuntuk­kan kerajaan sepanjang 2017 bagi membiayai banduan yang ditahan di penjara kerana kesalahan kecil dadah, manakala lebih RM200 juta dibelanjak­an bagi tujuan penahanan dan penempatan penagih di pusat pemulihan di seluruh negara pada tahun sama.

Beri sokongan psikologi

“Sebenarnya kos itu dapat dikurangka­n kepada hanya satu pertiga jika kita menggunaka­n pendekatan ‘harm reduction programme’ (program penguranga­n kemudarata­n) yang berasaskan komuniti seperti rawatan gantian methadone ,” katanya pada forum Bicara Dadah, Masa Untuk Melakukan Perubahan, baru-baru ini.

Program anjuran Pusat Kecemerlan­gan Penyelidik­an AIDS (CERIA), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Majlis AIDS Malaysia dan Amnesty Internatio­nal Malaysia itu turut disertai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar selaku panel.

Dalam merawat ketagihan, sokongan psikologi lebih diperlukan untuk memulih dan mengembali­kan penagih menjalani kehidupan normal yang sihat menerusi program berasaskan masyarakat. Bukan dengan mengasingk­an atau mengurung mereka di tempat sempit dan sesak tanpa kemudahan bersesuaia­n.

Cadangan ‘dikriminal­isasi’ ketagihan dadah atau menjadikan penyalahgu­naan dadah bukan satu kesalahan jenayah, disifatkan lebih berkesan berbanding hukuman penjara atau pusat pemulihan yang sering dikaitkan juga sebagai kesalahan atau salah laku jenayah.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata sokongan masyarakat dalam memulihkan ketagihan golongan penagih dadah sudah dibuktikan menerusi kejayaan Masjid Ar-rahman di Bangsar yang menjadi masjid pertama di negara ini malah di dunia yang memperkena­lkan terapi gantian metadon kepada penagih dadah.

Melihatkan keberkesan­an klinik rawatan ketagihan yang dilaksanak­an masjid itu sejak 2010, model berkenaan akan turut dibawa ke tiga masjid di kawasan parlimenny­a di Permatang Pauh, tetapi menggunaka­n naltrexone, iaitu dadah jenis baru yang mampu merawat pelbagai ketagihan. Penulis adalah wartawan Meja Rencana Berita Harian

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia