Berita Harian

Sumber rezeki mesti halal

Bukan hanya tertakluk kepada makanan, minuman

-

Islam menggarisk­an keutamaan mencari perkara halal dalam semua perkara termasuk makanan. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah SAW; “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.” (HR at-tarmizi).

Keutamaan mencari makanan halal dalam Islam ditekankan kerana ia akan mempengaru­hi pembentuka­n diri seseorang Muslim. Jika sumber makanannya haram, tidak terbentukl­ah dalam dirinya seorang manusia Muslim yang sebenar.

Pernah suatu ketika seorang sahabat yang bernama Sa’ad meminta baginda Rasulullah SAW memohonkan kepada Allah SWT supaya doa yang dimintanya kepada Allah SWT dikabulkan, lalu baginda Rasulullah SAW; “Perbaikila­h makananmu, maka Allah akan mengabulka­n doamu.” (HR Ath-thabrani). Begitu besar sekali impak makanan kepada seorang

manusia Muslim.

Halal atau tidaknya makanan dan minuman yang kita ambil ada kaitan dengan sumbernya, cara ia diproses selain premis atau tempatnya sementara haramnya sesuatu makanan itu pula bersandark­an kepada sumber dan bahannya, cara ia diproses dan juga keadaan premisnya.

Darjat setaraf golongan syuhadah

Malah halal atau haram rezeki yang dikerjakan seseorang Muslim itu juga diambil kira. Seseorang yang mencari rezeki dengan jalan yang halal, darjatnya sama taraf dengan golongan syuhadah. Hal ini disebut dalam hadis; “Barang siapa mengusahak­an buat keluargany­a dari barang yang halal, maka ia ibarat seorang pejuang di jalan Allah. Dan barang siapa mencari dunia yang halal dengan menjaga diri dari sesuatu yang tak berguna, maka ia menduduki darjat seperti darjat seorang syuhada.” (HR Aththabran­i).

Pernah satu ketika di zaman Khalifah Saidina Umar al-khattab RA, ada seorang penggembal­a kambing, seorang hamba sahaya yang amanah dan jujur.

Pada setiap hari pemuda itu mendaki bukit bakau dan merentasi padang rumput memberi makan kawanan kambing milik majikannya. Amanahnya pemuda itu pada tugasnya sehingga kambing itu dijaga baik seperti miliknya sendiri.

Suatu hari, Umar bertemu dengan pemuda itu sewaktu dia menghalau kawanan kambing kembali ke kandangnya. Umar mendekati pengembala itu dan berkata, “Banyak sungguh kambing yang kamu pelihara dan gemuk semuanya. Jualkanlah kepadaku seekor yang gemuk dan bagus,”

Mendengar kata-kata demikian, pengembala itu menjawab; “Kambing ini bukanlah milik saya, tetapi milik majikan saya. Saya hanyalah seorang hamba dan pengembala yang mengambil upah sahaja.”

Khalifah Umar RA memujuk pemuda itu supaya dapat menjual seekor dari kambing majikannya untuk menguji sejauh mana sifat amanah dan jujurnya. Umar berkata; “Saya rasa tidak mengapa kalau kamu menjual seekor sahaja untukku. Tambahan pula kamu boleh dapat wang darinya. Jika majikan kamu bertanya tentang kambing yang seekor, katakan sahaja kambing itu dibaham serigala. Sudah tentu majikan kamu tidak mengetahui yang kambing seekor itu sudah kamu jual.”

Jawab pengembala itu; “Tidak boleh sebab ini adalah amanah dan saya pula tidak boleh berlaku curang walau apa sekali pun.”

Namun Khalifah Umar RA terus memujuk pengembala itu supaya menjualkan seekor dari kambing yang dijaganya. “Kalau kamu jual seekor dari kambing tersebut, sudah tentu majikan kamu tidak nampak. Bukankah tiada sesiapa pun dekat sini yang melihat?” tanya Umar.

Si pengembala menatap wajah Umar dan berkata, “Wahai tuan, engkau benar tidak ada satu pun orang yang tahu jika aku menjual seekor kambing milik majikanku. Tapi, di mana Allah, tuan? Dia selalu melihat apa yang diperbuat oleh makhluk-nya.” Seketika itu Umar menitiskan air mata kerana kekagumann­ya pada kejujuran pengembala itu.

Kisah ini menjelaska­n, halal bukan hanya tertakluk kepada makanan atau minuman tetapi juga usaha dan daya dalam melakukan pekerjaan. Rezeki yang diperoleh secara halal, makanan yang halal menambah keimanan dalam diri selain membuka ruang untuk doa yang dipohonkan kepada Allah SWT dimakbulka­n sementara makanan yang haram menghalang doa dan ibadah kita diterima-nya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia