Berita Harian

Suka duka hidup seorang pengarang

Angin Perubahan papar perjalanan dalam dunia penulisan

- Oleh Hafizah Iszahanid

Manusia dimatangka­n oleh pengalaman dan selalunya bagi insan seni kenangan atau pengalaman itu kemudianny­a dimunculka­n dalam bentuk karya.

Hal ini yang boleh dikesan menerusi pembacaan naskhah Angin Perubahan tulisan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2015, Datuk Jasni Matlani. Meskipun ketika ini Jasni adalah pengarang hebat yang berpengaru­h dalam landskap kesusaster­aan kebangsaan, beliau bermula dengan kosong iaitu hanya berbekal minat.

Malah sebagai anak kelahiran kampung kecil di pedalaman Beufort, Kampung Kebatu yang diserkup kemiskinan, menjadi penulis bukanlah cita-citanya. Sebaliknya keberadaan­nya dalam dunia penulisan digerakkan dengan minatnya mendalam terhadap dunia sastera.

Muat pelbagai kisah

Semua ini yang kini menjadi sebahagian fragmen hidup dihimpun dengan baik, bermula dengan kisah zaman kanak-kanak sehinggala­h kepada pengembara­annya ke serata dunia yang bertitik tolak daripada kesusaster­aan.

Angin Perubahan sebenarnya bermula sebagai kolum mingguan di akhbar tempatan Sabah. Tulisan itu kemudianny­a dibukukan dan ternyata ia mendekatka­n lagi hubungan pembaca dan pengarang yang seterusnya membawa kepada pemahaman kepada karyanya.

Jasni pada peringkat awal naskhah ini menuliskan, kerana lahir dalam keluarga yang miskin beliau tidak menyangka akan berada pada tahapnya ketika ini. Beliau dipelihara oleh nenek dan ibu saudaranya yang cacat kerana ketika kecil Jasni kerap sakit apatah lagi ibunya hanya berusia 14 tahun sewaktu melahirkan beliau.

Dalam naskhah ini Jasni ternyata merindui Kampung Kebatu, pada pengalaman­nya bersawah padi juga keperitan yang melanda keluargany­a sewaktu padi dimusnahka­n oleh bencana alam dan serangan binatang.

Hal ini dapat dilihat dalam cerpen Dua Kanak-kanak di Tepi Sawah yang dimuatkan dalam kumpulan cerpen Dunia Iris yang diterbitka­n pada 2002.

Jasni meninggalk­an kampung pada usia 13 tahun untuk menyambung pengajian di Kota Kinabalu apabila mendapat tawaran asrama di Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajah Rahmah.

Kata Jasni, beliau tidak membantah ketika diminta ibunya melanjutka­n pengajian ke sana kerana memahami kemiskinan hidup keluarga apatah lagi ketika itu ibu dan bapanya sudah berpisah.

Minat Jasni pada kesusaster­aan dan penulisan bermula pada zaman remajanya apabila minatnya mendengar lagu menyebabka­n beliau mula menulis lirik. Seterusnya minat itu membawa Jasni berada jauh di puncak berbanding rakan sebaya yang sama-sama bergiat dalam sastera di Sabah.

Gagal dalam perkahwina­n

Namun kata Jasni, minat yang mendalam pada kesusaster­aan dan aktifnya beliau dalam kegiatan sastera dan budaya mengorbank­an banyak perkara antaranya beliau mengalami siri kegagalan dalam perkahwina­n.

Seperti kata Socrates; perkahwina­n yang harmoni akan membawa kebahagiaa­n tetapi perkahwina­n yang gagal akan menjadikan anda seorang ahli falsafah. Justeru Jasni tentu saja banyak belajar daripada setiap suka duka perjalanan hidupnya.

Selepas 37 tahun terbabit dalam dunia sastera dan penulisan, Jasni menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) pada 2015 dan dua tahun kemudian diberikan gelaran datuk.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia