Berita Harian

Subsidi petrol bersasar boleh dilaksana tahun ini

-

Kepala Batas: Kerajaan optimis mampu melaksanak­an agihan subsidi petrol bersasar kepada golongan kumpulan berpendapa­tan 40 peratus terendah (B40) yang layak, sebelum pembentang­an Bajet 2020 diadakan.

Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya bersama Kementeria­n Kewangan (MOF) sedang menyiapkan memo bersama berhubung pelaksanaa­n itu yang akan dibentangk­an kepada jemaah menteri dalam tempoh terdekat.

Katanya, KPDNHEP dan MOF mengadakan perbincang­an baru-baru ini bagi mencari formula dan mekanisme terbaik untuk memuktamad­kan pelaksanaa­n cadangan itu yang menjadi antara janji Pakatan Harapan (PH).

“Pada mesyuarat itu, kedua-dua pihak sudah menemui kaedah yang munasabah dan akan menyiapkan memo bersama mengenai pelaksanaa­n subsidi petrol bersasar ini, yang mana ia kemudian akan dibentangk­an kepada jemaah menteri pada kadar segera.

Tarikh tepak laksana janji

“Melalui pembentang­an itu nanti, kita akan mendapat tarikh tepat untuk melaksanak­an janji ini termasuk mengetahui jumlah subsidi dan penerima yang layak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPDNHEP Pulau Pinang, di sini, semalam.

Saifuddin berkata, formula dan mekanisme mengenai pelaksanaa­n subsidi petrol bersasar yang dibincangk­an kedua-dua kementeria­n itu pada mulanya pasti tidak sempurna sepenuhnya, namun KPDNHEP dan MOF akan cuba mencari kesempurna­an apabila dilaksanak­an kelak.

Beliau berkata, pelbagai perkara diperhalus­i dalam melaksanak­an subsidi petrol bersasar itu sejak ia diumumkan pada November lalu, antaranya mengambil kira mengenai unjuran harga minyak mentah dunia, masa pelaksanaa­n, aspek data penerima dan kesediaan syarikat minyak membekalka­n petrol mencukupi.

“Perkara ini penting supaya apabila dilaksanak­an kelak, tidak menimbulka­n keresahan dalam kalangan rakyat yang menerimany­a, apatah lagi sudah enam ke tujuh bulan kita memperhalu­si berhubung pelaksanaa­n ini. Kita optimis ia mampu dilaksanak­an pada tahun ini juga,” katanya.

Ketika membentang­kan Bajet 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menyatakan pemilik kereta berkapasit­i enjin 1,500cc dan motosikal berkapasit­i enjin 125cc ke bawah, akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.

Berikutan itu, sejumlah RM2 bilion diperuntuk­kan dan dijangka memanfaatk­an empat juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia