Berita Harian

‘Henti pertikai pelantikan Bakke sebagai Pengerusi FELDA’

-

Kuala Lumpur: Semua pihak diminta berhenti mempertika­ikan pelantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai Pengerusi FELDA baharu menggantik­an Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang melepaskan jawatan berkuat kuasa esok.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata walaupun Mohd Bakke sebelum ini pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB), ini tidak bermakna beliau seorang yang tidak berintegri­ti.

Sebaliknya, Mohamed Azmin berkata, Mohd Bakke sanggup meletak jawatan selaku Ahli Lembaga Pengarah 1MDB kerana enggan bersubahat dengan kecurangan berlaku dalam syarikat pelaburan strategik kerajaan terbabit.

“Mohd Bakke terbukti seorang ahli Lembaga Pengarah yang berintegri­ti kerana sanggup meletak jawatan berikutan tidak bersetuju dengan beberapa keputusan diarahkan kepemimpin­an negara ketika itu.

Tokoh wibawa sektor kewangan

“Beliau juga seorang tokoh berwibawa dalam sektor kewangan, korporat termasuk industri perladanga­n dengan memberikan khidmat cukup cemerlang seperti di Sime Darby dulu.

“Biarpun agak berumur, tetapi saya yakin dengan beliau dengan gabungan orang lama dan kepimpinan baharu mampu memulihkan semula FELDA pada masa depan,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Media Prima Berhad di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju melantik Mohd Bakke sebagai Pengerusi FELDA bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Julai 2019 hingga 30 Jun 2021.

“Mohd Bakke mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat termasuk industri perladanga­n. Saya yakin beliau mempunyai kepimpinan untuk meneruskan usaha mengembali­kan FELDA sebagai sebuah agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestaria­n FELDA,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia